KUALA LUMPUR – Seluruh ahli UMNO diseru agar bersatu memberikan penghidupan baharu kepada parti tersebut melalui langkah pengislahan bagi memastikan ia benar-benar diyakini sebagai parti perjuangan untuk agama, bangsa dan negara.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan, ahli-ahli perlu memperkasakan parti supaya menjadi lebih moden dan bukan semata-mata sebuah parti yang menjadi politik naungan orang Melayu.
“Jadi pada malam yang penting ini, saya mengajak semua perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri sekalian, marilah kita memberikan penghidupan baharu untuk UMNO.
“Marilah bersama-sama saya dan kepimpinan parti meneroka jalan sukar. Jalan berliku. Jalan yang belum tentu akan menemui fajar baharu. Untuk merawat, memulih dan mencerahkan UMNO,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian serentak Perhimpunan Agung Tahunan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini malam tadi.











