KUALA LUMPUR 28 Sept. – Buat pertama kalinya berucap sebagai Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan membuktikan pilihan akar umbi parti meletakkan beliau sebagai orang nombor dua parti adalah tepat dengan seruan semangat untuk ahli-ahli membangunkan dekad pencerahan bagi bangsa Melayu.
Dalam ucapan sulung beliau yang diakui disiapkan sendiri kira-kira pukul 6.45 petang hari ini, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu berpendirian, The New Malay Renaissance (Era Baharu Kebangkitan Melayu) di dalam UMNO itu perlu dicetuskan bermula dari sekarang.
Selain itu, dalam ucapan itu juga Mohamad turut menekankan betapa pentingnya untuk UMNO keluar daripada sindrom penafian.
“Kita tidak boleh terlalu defensif, terlalu sensitif dan menganggap semua teguran serta kritikan kepada kita adalah cubaan untuk menjatuhkan kuasa politik orang Melayu.
“Hujah sebegini sudah lapuk, sudah tidak boleh diterima. Sebaliknya, kita mesti menerima naratif bahawa selagi lantang dan kerap orang Melayu menyuarakan pandangan dan teguran kepada UMNO, semakin sayang dan peduli mereka dengan kita,” katanya ketika berucap dalam perasmian Perhimpunan Agung Tahunan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Dewan Merdeka di sini, hari ini.
Yang turut hadir Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Dr. Noraini Ahmad, Ketua Pergerakan Pemuda, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Pergerakan Puteri, Datuk Zahida Zarik Khan.
Di hadapan kira-kira 5,000 perwakilan, Mohamad yang berucap dengan disulami loghat Negeri Sembilan mengingatkan, UMNO mesti dibangunkan semula dengan nilai serta moral dan dengan ideologi yang paling tuntas.
Malah, dengan tegas, Mohamad berkata, UMNO mesti melupakan sebentar nafsunya untuk meraih kuasa.
“UMNO harus tampil bekerja keras meyakinkan semula bangsa Melayu bahawa UMNO akan menumpukan seluruh kudratnya dalam masa sepuluh tahun akan datang untuk menjadi gerakan kebangkitan dan pencerahan bagi bangsa Melayu,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, beliau sendiri memilih untuk meneruskan hayat UMNO dan berikrar membangunkan kembali serta menjadikan UMNO lebih baik.
“UMNO yang lebih moden, UMNO yang lebih maju, UMNO yang benar-benar diyakini sebagai parti perjuangan. Bukan parti untuk politik naungan bagi bangsa Melayu,” katanya.











