KUALA LUMPUR 28 Sept. – Kemenangan Barisan Nasional (BN) di tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak iaitu Hutan Melintang, Changkat Jong dan Lubuk Merbau adalah sah.
Keputusan dan perisytiharan itu dibuat oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas membenarkan bantahan awal dikemukakan calon BN bagi Hutan Melintang, Datuk Khairuddin Tarmizi, Datuk Mohd. Azhar Jamaluddin (Changkat Jong) dan Dr. Jurij Jalaludin (Lubuk Merbau).
Ketiga-tiga keputusan itu dibuat oleh Hakim Pilihan Raya, Collin Lawrence Sequerah setelah menolak petisyen pilihan raya difailkan oleh calon PKR, G. Manivannan untuk mendapatkan perisytiharan bahawa kemenangan Khairuddin di Hutan Melintang dengan majoriti 741 undi adalah tidak sah.
Turut ditolak oleh Hakim Sequerah ialah petisyen pilihan raya dikemukakan Muhammad Faizul Mohamed daripada PKR yang memperoleh undi sebanyak 11,149 berbanding Mohd. Azhar (11,216) iaitu dengan majoriti 67 undi dan petisyen calon PKR, Zulkarnine Hashim terhadap kemenangan Jurij yang memperoleh majoriti 409 undi.
Hakim Sequerah dalam penghakimannya bagi Lubuk Merbau bersetuju bahawa penyerahan petisyen itu tidak mematuhi peruntukan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 serta Jurij juga tidak lagi memegang jawatan berpendapatan kerana telah meletakkan jawatan sebagai pengetua sekolah agama pada 28 April lalu sebelum bertanding.
Bagi Changkat Jong dan Hutan Melintang pula, Hakim Sequerah bersetuju bahawa penyerahan petisyen itu tidak teratur, fakta-fakta yang dinyatakan dalam petisyen juga tidak jelas dan menjurus kepada alasan untuk keputusan pilihan raya itu diketepikan.
Setiap petisyen itu ditolak dengan kos RM10,000 untuk dibayar oleh pihak pempetisyen.
Sementara itu di luar mahkamah, peguam Datuk Mohd. Hafarizam Harun menyifatkan kemenangan DUN Hutan Melintang merupakan hadiah kecil tetapi istimewa kepada Ahli Parlimen Bagan Datuk iaitu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
“DUN kekal bersama UMNO dan BN. Malam ini bermula Perhimpunan Agung UMNO, jadi ini merupakan hadiah kecil dan istimewa untuk Presiden,” ujar Mohd. Hafarizam.











