KUALA LUMPUR 28 Sept. – Sebanyak 99 orang termasuk seorang remaja lelaki berusia 14 tahun dan seorang lelaki berpangkat Datuk Seri ditahan kerana menjalankan sindiket penipuan Macau Scam di KL Sentral, di sini kelmarin.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata, serbuan dilakukan di sebuah pejabat mewah di KL Sentral kira-kira pukul 1.40 petang.
“Jumlah yang ditahan ialah 99 orang berusia 14 hingga 44 tahun membabitkan 78 lelaki dan 21 wanita.
“93 orang adalah warga China dan enam lagi warga tempatan yang bertindak selaku pengawal keselamatan, penterjemah dan perantara sindiket tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di Menara 238, Jalan Tun Razak, di sini hari ini.
Menurut Amar Singh, ketika serbuan, kesemua mereka sedang membuat panggilan menawarkan perkhidmatan pelaburan saham kepada mangsanya warga China.
Jelasnya, selain tangkapan, polis turut merampas 169 buah telefon bimbit, komputer riba (114), buku catitan (19), pasport (16) dan sebuah Toyota Vellfire.
Tambahnya, kesemua suspek kini masih direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966. – UTUSAN ONLINE











