SHAH ALAM 28 Sept. – Syarikat hartanah milik bumiputera, Johawaki Development Sdn. Bhd. yang memiliki pengalaman selama 21 tahun dalam bidang pembinaan perumahan dan komersial, melabur sebanyak RM120 juta untuk projek Avanti Residences yang terletak di Saujana Permai U17 di sini.
Projek perumahan mewah yang melibatkan kawasan seluas lapan hektar itu pertama kali dimajukan syarikat perumahan tersebut dan diterajui oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Johawaki Holdings Sdn. Bhd., Mohamad Akmal Johari.
Johawaki Development memiliki bank tanah seluas 33 hentar di Saujana Permai U17 dan lapan hektar daripadanya telah diperuntukkan untuk projek Avanti Residences.
Berhadapan dengan cabaran dalam dunia pembinaan , secara terus terang Mohamad Akmal memberitahu, Johawaki tidak terkecuali melalui zaman kesukarannya terutama sekali dalam memasarkan unit rumah Avanti Residences yang ditawarkan pada harga kira-kira RM1.1 juta seunit kepada kumpulan sasaran.
Namun beliau berpendapat, projek Avanti Residences merupakan satu percubaan buat syarikat khususnya dalam segmen premium dan ia juga memberi satu imej terbaik buat syarikat untuk memasarkan projek hartanahnya malah meningkatkan keyakinan pelabur untuk terus setia dengan jenama Johawaki pada masa depan.
“Nilai pembangunan kasar (GDV) untuk projek Avanti Residences ialah sebanyak RM120 juta dan dibawah komponen ini, pembeli-pembeli rumah berpotensi ditawarkan sebanyak 84 unit rumah mewah dilengkapi dengan enam bilik tidur dan lima bilik mandi,” katanya sambil menambah, purata keluasan tanah ialah 40 X 80 kaki persegi.
Tambah beliau, untuk unit semi-D Fasa 1 dan Fasa 2 Avanti Residences, telah habis dijual dan yang tinggal atau berbaki adalah 30 unit sahaja untuk pembangunan fasa 3.
“Baki 30 unit dalam fasa tiga ini, ia terdiri daripada rumah edisi terhad yang mana ia berkonsepkan Bali, memiliki status pegangan 99 tahun atau lease hold.
“Kini ia dibuka untuk jualan kepada pelabur dan kami menjangkakan kesemua baki unit rumah berkenaan akan habis dijual menjelang akhir tahun ini,” katanya.
Mohamad Akmal menjelaskan, rumah mewah memiliki ciri-ciri rumah pintar kerana dibina lengkap dengan kemudahan kunci pintu pintar, butang kecemasan, sistem takungan air hujan berpam dan kawalan kamera tertutup (CCTV).
“Kawasan kediaman ini juga mempunyai kawalan keselamatan 24 jam dengan disediakan perkhidmatan pengawal keselamatan untuk tempoh setahun,” katanya.
Selain itu, Mohamad Akmal berkata, Johawaki Development juga sedang dalam perancangan untuk membina Rumah Selangorku di kawasan Saujana Permai U17 untuk baki bank tanah yang ada di kawasan berkenaan.
Projek ini, kata Mohamad Akmal adalah dengan kerjasama kerajaan negeri Selangor dan dijangka siap menjelang suku pertama tahun hadapan. – UTUSAN ONLINE











