ADUN Chenderoh cedera kemalangan dalam perjalanan ke PAU 2018 - Utusan Malaysia

ADUN Chenderoh cedera kemalangan dalam perjalanan ke PAU 2018

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderoh, Datuk Zainun Mat Noor mengalami kecederaan selepas kenderaan yang dinaikinya terlibat dalam kemalangan tiga kenderaan di Kilometer 329 Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan dekat sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian pada pukul 6.20 pagi itu, Zainun, 62, yang memandu kenderaan jenis Honda CRV dalam perjalanan ke Kuala Lumpur bagi menghadiri Perhimpunan Agong UMNO yang bermula esok.

Dua lagi kenderaan yang terlibat adalah sebuah lori membawa muatan batu seramik dan kereta jenis Proton Exora. 

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, siasatan awal mendapati lori tersebut dalam perjalanan dari utara ke ibu negara.

“Tiba di lokasi kejadian, pemandu lori berusia 33 tahun itu gagal mengawal kenderaan berat tersebut sebelum terbabas dan terbalik di tengah jalan. 

“ADUN Chenderoh dan pemandu Proton Exora berusia 46 tahun yang berada di belakang lori tersebut tidak sempat mengelak lalu merempuh lori itu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi. 

Menurut Wan Azharuddin, kemalangan tersebut menyebabkan ketiga-tiga pemandu kenderaan tersebut mengalami kecederaan. 

“Tiga penumpang wanita yang bersama ADUN Chenderoh dan enam penumpang termasuk seorang lelaki di dalam Proton Exora turut mengalami kecederaan ringan. 

“Kesemua 12 mangsa bagaimanapun tidak mengalami kecederaan serius namun seorang daripada penumpang Proton Exora dibawa ke Hospital Raja Perempuan Bainun, Ipoh kerana mengalami sesak nafas,” katanya. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini