BALIK PULAU – Polis berjaya memberkas tiga suspek termasuk satu pasangan kekasih yang dikenali sebagai geng Romeo & Juliet selepas dipercayai memecah masuk sebuah restoran makanan laut di Batu Maung di sini kelmarin.
Suspek terdiri dua lelaki dan seorang wanita yang masing-masing berusia 23, 26 dan 55 tahun itu diberkas di dua lokasi berasingan di Bayan Lepas dan Butterworth pada hari sama.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A. A. Anbalagan berkata, suspek wanita ditahan pemilik premis berkenaan manakala dua suspek lelaki diberkas di sebuah hotel bajet selepas lebih 10 jam kejadian berlaku.
“Siasatan awal mendapati pasangan kekasih bersama bapa saudara suspek lelaki itu aktif dalam melakukan kegiatan curi di hotel bajet dan pecah premis sekitar Pulau Pinang, Perak serta Kedah.
“Mereka kini ditahan reman selama empat hari hingga 30 September ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya di sini hari ini. – K! ONLINE











