SERDANG – Tiada perbincangan mengenai kerjasama antara Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan UMNO bagi membentuk kerajaan perpaduan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Presiden PKR itu berkata, beliau tidak mengetahui mengenai rancangan UMNO untuk membentuk kerjasama tersebut seperti yang dinyatakan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
“Kita tidak bincang, kita mesti tengok macam mana, takkanlah hendak bekerjasama pula,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Better Brighter Anjung Kasih YKN @ Hospital Serdang di sini hari ini.
Pada Rabu lepas, Ahmad Zahid dilaporkan sebagai berkata, UMNO berharap dapat membentuk kerajaan perpaduan dengan mana-mana parti dari Pakatan Harapan secepat mungkin.
Menurut Ahmad Zahid kerjasama itu boleh dicapai menerusi perjanjian bersama sebelum atau selepas Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri. – Bernama











