DUA sosok ini cukup dihormati dalam lapangannya. Berpengalaman dalam dunia seni, sehingga kini kedua-duanya masih mampu mempertahan kedudukan biar industri dihimpit pelbagai cabaran.
Tidak pernah lelah menghiburkan khalayak, bukan lagi sekadar keuntungan yang dicari sebaliknya mereka mahu memastikan perjuangan seni dan legasi diteruskan oleh generasi baharu.
Malah Datuk Ramli Sarip dan Datuk Khadijah Ibrahim sempat berkongsi keterujaan dalam mendepani jelajah konsert 30 tahun mereka dalam industri seni menerusi Doa Buat Kekasih 30th Anniversary Tour di Istana Budaya dan Dewan Esplanade, Singapura yang masing-masing akan berlangsung 6 Oktober dan 17 Oktober depan.
Pilihan untuk menjayakan konsert ini turut mengambil kira gabungan mereka yang begitu indah dengan nostalgia tersendiri dalam lagu Doa Buat Kekasih terus menjadi halwa telinga peminat sehingga kini.
Tiada amalan khusus
Mengenai kemampuannya untuk mengekalkan kehebatan suara sejak puluhan tahun, Datuk Khadijah Ibrahim mengakui dia tidak mengamalkan sebarang pantang larang.
“Bila semakin tua, memang kita mudah dijangkiti batuk dan selesema. Sebagai penyanyi, itu adalah masalah paling besar kerana mampu menjejaskan suara.
“Pendekatan saya mudah, selain menikmati tidur yang cukup, saya juga jaga pemakanan dan melakukan senaman,” katanya.
Memperkata mengenai konsert yang bakal berlangsung minggu depan, Khadijah akui pengalamannya tidak mampu untuk menghilangkan rasa gementar.
“Untuk menghilangkan tekanan dan sebagai terapi mental saya banyak menggunakan waktu yang ada untuk memandu. Antara lokasi ialah ke Singapura atau Thailand. Seronok sebenarnya dapat menikmati pemandangan,” kongsinya.
Dalam pada itu, Khadijah juga berbesar hati mengumumkan kehadiran sebuah rekod atau LP, Koleksi Ikhlas Terbaik yang mengandungi 10 buah lagu pilihannya.
“Cetakan pertama sebanyak 500 unit dan istimewanya album ini dibuat di Australia. Saya mengambil hampir setengah tahun untuk berbincang dengan Shan Selvadurai sebelum menghasilkan LP ini,” katanya mengenai album yang memuatkan lagu-lagu antaranya Ku Sangka Siang Kiranya Malam, Ku Pendam Sebuah Duka dan versi asal Doa Buat Kekasih.
Khadijah pasangan serasi – Ramli
SENANG dengan gandingannya dengan Khadijah, Ramli mengakui, wanita itu adalah pasangan serasi buat dirinya malah memulakan karier pada zaman yang sama memudahkan mereka untuk berkerjasama.
Kolaborasi mereka saling melengkapi antara satu sama lain terutama dalam mempersembahkan sesebuah duet antaranya yang popular tentulah lagu malar segar, Doa Buat Kekasih.
“Saya sudah menyanyi dengan ramai penyanyi lain, tetapi gabungan dengan Khadijah paling memberi impak kerana nada suara kami yang begitu serasi.
“Bukan saya kata saya tidak boleh berduet dengan penyanyi lain, tetapi Khadijah lebih istimewa,” katanya tanpa berselindung.
Khadijah sendiri tidak menolak kebenaran tersebut malah marasakan masing-masing memahami kehendak diri dan lagu selain gabungan mereka saling menguatkan persembahan.
“Kami memahami jiwa dan mood masing-masing. Lebih penting kami tahu kekuatan julat vokal.
“Jika Ramli tidak boleh meneruskan dengan not tinggi saya akan ambil alih.
“Memang saya sangat mudah bekerjasama dengannya dan Ramli juga antara rakan duet yang ideal untuk saya,” kata Khadijah pula.
Duet bukan mudah
Sentiasa menghargai bakat muda yang dilihat kreatif, namun itu bukan bermakna Datuk Ramli Sarip terbuka menerima pelawaan untuk berduet malah melihat kesan jangka panjang dari semua aspek membuatkan beliau pernah menolak beberapa tawaran.
“Saya tidak ada masalah untuk berduet dengan artis lebih muda sebab memang ada antara mereka yang bagus.
“Namun apabila ada yang cuba menawarkan peluang kepada saya, kena pastikan mereka tidak tenggelam bila berduet bersama.
“Jadi saya terpaksa tolak beberapa tawaran sebelum ini, tidak perlu saya nyatakan siapa mereka. Cuma buat masa ini saya masih terbuka menerima pelawaan cuma ada kriteria yang perlu ditepati,” katanya.
Mengenai pandangan kasarnya terhadap penyampaian artis masa kini, Ramli tidak berselindung memberitahu, ada antara mereka yang tidak mampu menyerahkan jiwa dalam sesebuah lagu.
“Mereka seperti tidak boleh mengangkat sesebuah lagu itu dengan cara yang betul.
“Memberi makna, mereka hanya boleh menyanyi tetapi mencari penghayatan dalam sesebuah lagu itu tidak ada. Tetapi bukan semua,” tambahnya.











