Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) mengesahkan orang muda menolak mentah-mentah apa sahaja yang ditawarkan atau penjelasan yang diberikan oleh UMNO. Dan sehingga hari ini tidak ada petanda jelas bahawa orang muda telah kembali kepada UMNO biarpun dihina oleh pemimpin Pakatan Harapan (PH) dalam isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Jauh sekali PH menunaikan janji-janji yang dibuat semasa PRU-14.
Justeru, malam ini dan esok adalah hari penting untuk menentukan kebangkitan semula UMNO khususnya Pergerakan Pemuda UMNO untuk mengembalikan semula defisit kepercayaan anak muda terhadap parti itu.
Sememangnya itu adalah tugas berat yang perlu digalas sepenuhnya oleh Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan naibnya, Shahril Sufian Hamdan bersama saf pimpinan sayap kanan parti tersebut.
Mereka harus membersihkan diri daripada segala lumpur dan selut yang terpalit selama ini. Bukan kerja mudah tetapi Pemuda UMNO mempunyai ramuan tersebut.
Asyraf Wajdi kelihatan bersih ditambah pula dengan latar agamanya yang kejap.
Begitu juga Shahril Sufian, intelek muda dari barat.
Cuma ramuan itu harus digaul dengan baik. Tidak boleh ke kanan sangat (walaupun Pemuda UMNO mengakui berada di tengah) apatah lagi jauh ke kiri.
Cabaran hari ini amat luar biasa. Pemuda tidak boleh lagi bergerak perlahan. Pemuda harus kuat dan kental. Pengkaderan harus disegerakan. Jika tidak akan terus tertinggal.
Mungkin sudah tiba masanya idea Sardon Jubir dijelmakan kembali dengan pembentukan Revolusi Mental dan Pemuda Tahan Lasak 2.0.











