Penentu survival politik UMNO - Utusan Malaysia

Penentu survival politik UMNO

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MALAM ini Perhimpunan Agung UMNO 2018 akan bermula dengan perasmian serentak perhimpunan sayap iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri oleh Timbalan Pre­siden parti, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Selain kesan ‘kecederaan parah’ selepas kehilangan kuasa dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), ahli-ahli UMNO juga akan hadir di Pusat Daga­ngan Dunia Putra (PWTC) dengan keadaan parti itu seolah-olah dilihat tidak pernah melakukan secebis pun jasa kepada rakyat negara ini.

Dari semasa ke semasa, semakin ramai pemimpin parti tersebut yang selama ini menikmati pelbagai keistimewaan semasa UMNO berkuasa meninggalkan parti induk orang Melayu itu. Setelah tiada lagi kuasa, UMNO seolah-olah sebuah ‘bahtera’ yang tersadai di persisiran pantai.

Memuatkan artikel berkaitan…

Malah di luar parti pula, musuh-musuh politik UMNO bagaikan pesta. Mereka mengecam dan melemparkan pelbagai penghinaan kepada UMNO, biarpun satu ketika parti itulah yang banyak berjasa kepada mereka.

Tetapi itulah politik dan rea­liti yang harus diterima oleh pemimpin, ahli dan penyokong UMNO. Ketika inilah kesetiaan mereka akan diuji habis-habisan. Dugaan dan cabaran maha hebat tanpa kuasa di ta­ngan.

UMNO kini benar-benar memerlukan pejuang bukannya pemimpin atau sekadar kelompok yang mahu dipimpin. Pejuang-pejuang inilah yang perlu mengatur strategi dan gerak kerja bagi membolehkan UMNO ‘tidak berkubur’.

Dalam meneruskan perjuangan itu, UMNO memerlukan mereka yang mempu­nyai semangat setia, tabah dan rela berkorban. Dengan kuasa yang sudah hilang, masa depan UMNO kini benar-benar bergantung kepada semangat perjuangan pemimpin, ahli dan penyokongnya.

Era menjadikan UMNO lubuk meraih keuntungan dan me­lonjakkan karier politik peri­badi sudah berakhir. Sama ada UMNO mampu bertahan atau tidak, ia kini bergantung sepenuhnya kepada pemimpin, ahli dan penyokong yang terus setia dengan parti keramat tersebut.

Walaupun keramat itu mungkin semakin terhakis tetapi UMNO ‘belum mati’. UMNO hanya hilang kuasa dalam pilihan raya akibat kegagalan menangani denyutan hati ahlinya dan gelora jiwa rakyat. Akhir­nya, UMNO dihukum PRU-14.

Bagaimanapun semua itu sudah menjadi sejarah. Apa yang penting untuk UMNO bangkit semula, janganlah bernostalgia dengan sejarah silam, usah menangisi kuasa yang hilang dan tidak terus beretorik. Sesungguhnya Perhimpunan Agung UMNO 2018 penentu masa depan parti itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini