Serius bertanding bukan tangkap muat - Utusan Malaysia

Serius bertanding bukan tangkap muat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH: STEVIE CHAN KENG LEONG merupakan individu paling awal menawarkan diri bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson selepas kerusi itu dikosongkan bagi memberi laluan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anak kelahiran Tanjung Minyak, Melaka ini menyifatkan PRK yang sengaja diadakan untuk memenuhi cita-cita politik pemimpin itu adalah tidak selari dengan prinsip dan proses pemilihan demokratik.
Beliau yang berusia 51 tahun dan akan bertanding atas tiket calon Bebas berkongsi pandangan dengan wartawan, HARADIAN SHAH HAMDAN tentang peluang serta harapannya dalam PRK pada 13 Oktober nanti.

 

Memuatkan artikel berkaitan…

Utusan: Apakah faktor yang mendorong anda bertanding dalam PRK Parlimen Port Dickson?

Stevie Chan Keng Leong: Saya melihat PRK hasil daripada peletakan jawatan yang disengajakan oleh bekas Ahli Parlimen Port Dickson adalah bertenta­ngan dengan nilai dan prinsip demokrasi. ‘Langkah PD’ yang dirancang bagi memberi laluan Anwar ke Parlimen adalah bukti pemimpin tidak mengambil endah suara rakyat.

Jika dibiarkan, ia bakal membawa kita ke arah politik lama yang telah kita tolak iaitu keangkuhan, kesombongan, nepotisme dan sikap mementingkan diri sendiri berbanding rakyat. Corak pemikiran politik baharu iaitu ber­khidmat untuk rakyat dan bukan untuk kepentingan ahli politik adalah yang diundi oleh rakyat Malaysia pada 9 Mei lalu.

Sebagai calon Bebas, ada pihak menganggap anda sekadar menjadi pengacau dalam PRK ini?

Semakin hari saya semakin yakin bahawa rakyat secara amnya menerima mesej perubahan dan kebebasan sebenar yang ditekankan. Sekarang cabarannya adalah untuk memastikan pengundi di Port Dickson mendapat mesej-mesej ini. Jika ya, kami mempunyai peluang. Saya serius bertanding dan bukan sekadar tangkap muat.

Cara kempen yang akan digunakan untuk mendekati pengundi?

Sebagai calon Bebas, saya harus lebih kreatif kerana kekurangan masa, tenaga kerja, dan peruntukan kewangan. Strategi berkempen melibatkan lebih banyak sentuhan peribadi di kawasan pengundi. Saya juga kena fokus untuk sampaikan mesej asas kepada seramai mungkin pengundi sepanjang tempoh berkempen selama dua minggu.

Apakah isu-isu penduduk yang akan diberi tumpuan?

Saya percaya penduduk di Port Dickson menghadapi masalah yang tidak banyak bezanya berbanding majoriti rakyat Malaysia seperti penda­patan rendah, isu kualiti pendidikan, peluang ekonomi me­ngecil dan kos sara hidup meningkat.

Sebagai ahli Parlimen, saya akan mewakili suara golongan berpendapatan rendah dan pertengahan. Saya juga akan memperjuangkan sistem bas awam yang konsisten dari Port Dickson ke Kuala Lumpur, isu jenayah, selain menjadikan Port Dickson pusat pelancongan sukan. Malah, saya berjanji akan tinggal di Port Dickson sebagai wakil rakyat se­penuh masa jika menang.

Saya akui ada usul-usul yang mungkin sukar untuk dilaksana­kan, tetapi sebagai wakil Bebas, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk sekurang-kurangnya membawa perbincangan ini ke peringkat nasional.

Harapan kepada pengundi?

Pertama, saya harap pengundi berani membuka minda untuk menerima mesej perubahan yang saya sampaikan. Kedua adalah untuk pengundi menilai hujah-hujah calon secara berhemah dan objektif. Akhir sekali, saya berharap mereka memberikan saya peluang dan mengundi untuk membebaskan minda daripada cara politik lama.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini