“SEKARANG ini isteri memang wajib bekerja, apa-apa jadi … senang ada back-up,” kata kawan sepejabat akak cun. Seorang lelaki.
Menurutnya, walaupun dia tidak pernah meminta wang daripada isterinya tetapi isterinya selalu menawarkan duit di tengah-tengah bulan, ketika gaji beberapa hari lagi akan masuk.
“Segan hendak ambil. Tapi kalau segan, kereta boleh ke gerak dengan tuang air saja? Mula-mula jual mahallah, tapi lepas itu cakap beri RM60 saja pun tak apalah, walhal bukan cukup pun,” katanya.
Itulah dia ego lelaki. Tak berduit pun hendak jual mahal lagi. Terdesak tapi buat-buat steady.
Akak cun rasa, bukan semua lelaki macam kawan akak cun ini. Ada yang memang tanpa malu-malu meminta duit isteri. Bila isteri kata tiada duit, mempertikaikan pula mana duit gaji isteri itu pergi? Duit dia pun tak tahu pergi mana, lagi mahu tanya duit orang lain!
Ada suami yang memang kedekut hendak keluar duit, walaupun ketika keluar makan bersama keluarga di luar, bila time bayar, masa itulah dia hendak pergi ke tandas atau buat-buat jawab telefon. Ini memang biasa sangat.
Tetapi yang hairannya, bila bersama kawan-kawan, dia jadi begitu ‘pemurah’ pula. Mudah saja keluar duit. Ayat biasa keluar bila belanja kawan – “Apa ada hal.”
Masa hendak bayar barang-barang keperluan di pasar raya pun macam itu juga, akak cun selalu perhatikan, yang menolak troli itu orang lelaki tetapi yang membayar pula orang perempuan. Kalau lelaki pula yang membayar, lagaknya lain sikit, semuanya dikatakan tak perlu bila si isteri memasukkan sesuatu barang ke dalam troli. Akhirnya, beli beras dengan susu anak saja. Tapi lepas itu, dialah yang hendak makan macam-macam, minta isteri masakkan. Agaknya, sayur boleh petik di tepi jalan saja dan ikan boleh tangkap di sungai.
Akak cun tabik kepada isteri-isteri yang tidak berkira dari segi duit dalam membantu suami. Tetapi, orang lelaki janganlah pula ambil kesempatan, sebab tahu dia ada back up, dia pun habiskan duitnya untuk perkara-perkara yang entah apa-apa, hujung-hujung bulan ada ‘penyelamat’…duit isteri.
Sebab itu, jangan marah kalau akak cun cakap, ramai lelaki sekarang suka mencari perempuan yang bekerja untuk dijadikan isteri. Kalau boleh, gaji besar daripada mereka lagi baik. Tak adalah rasa rendah diri atau malu seperti lelaki zaman dahulu.
Memang tiada salahnya suami isteri tolong menolong, tetapi kalau yang selalu menolong itu isteri saja dan asyik duit isteri keluar untuk perbelanjaan keluarga termasuk duit belanja suami hari-hari ke pejabat, tak tahu malukah orang lelaki?











