KUALA LUMPUR 27 Sept. – Parti Rakyat Malaysia (PRM) sekali lagi mencalonkan Ahmad Kamarudin untuk membawa cabaran mereka dalam pilihan raya kecil (PRK), kali ini menentang Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam PRK Parlimen Port Dickson.
Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) cabang Kapar itu merupakan calon PRM pada PRK DUN Sungai Kandis, namun menarik diri pada saat-saat akhir sebelum penamaan calon.
Pengerusi Jawatankuasa PRK Parlimen Port Dickson PRM, Koh Swe Yong mengumumkan pencalonan Ahmad dalam satu sidang akhbar di sini sebentar tadi.
Ditanya sama ada ‘gimik’ sama bakal berulang, Ahmad yang turut hadir dalam sidang akhbar itu dengan yakin memberitahu beliau komited untuk menentang Anwar yang merupakan bekas ketuanya semasa di dalam PKR.
Ahmad pada Pilihan Raya Umum Ke-14 bertanding menentang Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa.
Beliau bagaimanapun hanya menerima 116 undi. – UTUSAN ONLINE











