KANGAF 27 Sept. – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyempurnakan majlis
pembukaan cawangan baharu Butik Ultron di sini, semalam.
Berangkat sama pada majlis perasmian itu, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda baginda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.
Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif merangkap pengasas Ultron, Mark Chua dan Pengarah Urusan MEP Ventures Sdn. Bhd., Ku Hasrin Ku Abdul Rahman.
Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran atlet paralimpik negara, Muhammad Ziyad Zolkefli dan atlet angkat berat negara, Faiz Musa.
Dalam pada itu, Mark ketika berucap berkata, Perlis merupakan cawangan ketiga Butik Ultron selepas Kuala Lumpur dan Kuching, Sarawak.
“Seperti jenama-jenama terkenal negara seperti Air Asia, Ultron memastikan barang-barang jenama berasal dari Malaysia adalah yang paling berkualiti, pada harga yang berpatutan untuk seluruh masyarakat.
“Kami telah dan ingin terus buktikan, bukan negara-negara Barat sahaja yang mampu menghasilkan pakaian sukan dan jenama yang baik, tetapi Ultron juga boleh bersaing di pentas antarabangsa,” katanya.
Untuk rekod, Ultron adalah penaja t-shirt bagi acara Perlis Marathon sejak tiga tahun berturut-turut. – UTUSAN ONLINE











