KUALA LUMPUR 27 Sept. – Seorang anggota polis berpangkat sarjan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan memperoleh rasuah wang tunai RM1,000 bagi mengelakkan seorang lelaki diambil tindakan undang-undang berhubung kesalahan dadah, tahun lalu.
Mohd. Shawall Mustaffa, 31, didakwa sebagai Sarjan Percubaan Gred YA6, yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD), Cheras telah memperoleh suapan wang tunai RM1,000 daripada Mohamed Riezuan Mokhtar yang bekerja sendiri sebagai dorongan untuk tidak membawa kes ke mahkamah di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 terhadap Mohamed Riezuan.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Restoran Old Town White Coffee, Viva Home Shopping Mall, Jalan Loke Yew, Taman Miharja, Cheras di sini kira-kira pukul 11.30 pagi, 21 Julai 2017.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM, Irwan Shah Abdul Samat manakala Mohd. Shawall diwakili peguam, Ridha Abdah Subri.
Hakim Azura Alwi membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport perlu diserahkan ke mahkamah sehingga kes selesai selain menetapkan 24 Oktober ini untuk sebutan kes. – UTUSAN ONLINE











