Berita bintang badminton No. 1 negara, Datuk Lee Chong Wei yang disahkan menghidap penyakit kanser hidung telah mengejutkan ramai rakyat Malaysia baru-baru ini.
Ramai tidak menyangka ahli sukan yang berusia 35 tahun dan kelihatan cergas di gelanggang terpaksa mendapatkan rawatan perubatan bagi penyakit itu di Taiwan.
Penulis yang bersimpati dengan Chong Wei berharap bintang sukan itu akan pulih seperti biasa. Penyakit kanser boleh diubati jika dirawat pada peringkat awal.
Berita berkaitan:
Chong Wei bukannya ahli sukan pertama menghidap kanser di dunia. Terdapat beberapa atlet Amerika Syarikat (AS) yang berjaya pulih dan kembali aktif dalam bidang sukan.
Antaranya perenang Olimpik AS, Eric Shanteau. Dia menghidap kanser testikular semasa menjadi atlet. Namun, perenang Olimpik 2008 itu berjaya pulih daripada penyakit tersebut.
Bagaimanapun, jika sudah merebak kanser boleh membawa maut. Pengasas syarikat Apple, mendiang Steve Jobs pernah menyesal kerana tidak menggunakan perubatan moden untuk mengubati penyakit kanser yang dihidapnya.
Ibu penulis juga pesakit kanser pankreas tahap empat. Kegagalan untuk mengesan kanser itu pada peringkat awal menyebabkannya meninggal dunia ketika menghidap penyakit itu.
Murid sekolah juga boleh menghidap kanser. Ketua Pengawas Sekolah Kebangsaan Jerantut, Pahang, Mohd. Rusyaidi Mohd. Ridzuan, terpaksa melupakan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah atas nasihat doktor yang memintanya berehat kerana menghidap kanser otak.
Mohd. Rusyaidi dan Chong Wei merupakan antara pesakit kanser yang semakin ramai di negara ini. Namun, bintang badminton itu berjaya membangkitkan kesedaran rakyat Malaysia terhadap bahaya penyakit barah.
Ramai rakyat Malaysia mula bercerita dan menghantar mesej melalui WhatsApp tentang pengambilan buah-buahan yang boleh mencegah risiko terkena penyakit itu.
Bilangan kes penyakit kanser yang disebabkan pertumbuhan sel tidak normal dalam badan semakin banyak selepas Malaysia menikmati banyak kemajuan infrastruktur dan ekonomi berbanding pada tahun 1970-an.
Walaupun mungkin tabiat rakyat Malaysia tidak suka pergi ke hospital untuk mendapat rawatan pada tahun 1980-an tetapi hakikatnya bilangan pesakit kanser meningkat sebanyak 50 peratus sejak tahun 1996.
Statistik Kementerian Kesihatan pada tahun 2016 menunjukkan kanser adalah punca kematian ketiga tertinggi di hospital kerajaan di negara ini.
Mungkin ada sebab tertentu yang menyebabkan penyakit kanser menjadi pembunuh nombor tiga di hospital kerajaan. Perlu diingat statistik itu juga tidak merangkumi hospital swasta.
Walaupun negara semakin maju tetapi bilangan penduduk menghidap kanser dan penyakit lain yang membawa kematian semakin bertambah.
Mencegah lebih baik daripada mengubati. Justeru, adalah lebih baik rakyat Malaysia mengambil berat tentang penjagaan kesihatan sebelum menghidap penyakit yang boleh membawa kematian.











