KUALA LUMPUR – Seramai 13 lelaki yang menganggotai Geng 08 dihukum penjara lapan bulan oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam atas pertuduhan menganggotai kumpulan itu lima tahun lalu.
Hakim Datuk Azman Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap kesemua tertuduh yang berusia antara 18 hingga 38 tahun selepas mereka mengaku salah atas pertuduhan yang disabitkan ke atas mereka.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman bermula dari tarikh kesemua tertuduh ditangkap antara 23 Mac hingga 18 Jun lalu.
Mengikut pertuduhan pindaan, kesemua tertuduh didakwa menjadi anggota kongsi gelap Geng 08 yang merupakan sebuah pertubuhan yang menyalahi undang-undang di Kuala Lumpur antara 23 Ogos 2013 hingga 28 Mac 2018.
Berikutan itu, kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 (akta 335) dan boleh dihukum di bawah peruntukan sama yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.











