KOTA BHARU 26 Sept. – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghormati sesiapa sahaja yang menjadi lawan beliau, termasuk Pas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson bulan depan.
Menurut Anwar, beliau akur keputusan UMNO dan Barisan (BN) untuk tidak meletak calon selain bersedia berdepan cabaran daripada Pas sekiranya parti itu membuat keputusan mahu bertanding dalam PRK tersebut.
“Kita semua sedia maklum, UMNO umum tak nak bertanding manakala Pas pula akan buat keputusan malam ini. Kalau bertanding, terserahlah, itu hak mereka (untuk bertanding),” katanya ketika berucap dalam Amanat Perdana Agenda Malaysia Baru di Tunjung, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi PKR negeri, Ab. Aziz Ab. Kadir.
Pas malam ini mengumumkan sedia meletakkan calonnya untuk bertanding dalam PRK Parlimen Port Dickson, 13 Oktober ini.
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Jawatankuasa Harian Pas Pusat di Marang, Terengganu sebentar tadi dan calon tersebut akan diumumkan esok.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau tidak akan memandang rendah sesiapa sahaja yang bakal menjadi pencabarnya dalam PRK tersebut.
“Sebagaimana calon biasa, saya akan bekerja keras siang dan malam untuk berkempen di Port Dickson bagi memastikan kemenangan kepada PKR,” katanya..
Terdahulu, Anwar menegaskan PKR bukan sebuah parti warisan UMNO, sebaliknya parti yang mempunyai prinsip sendiri dan perjuangan utamanya adalah untuk membawa pembaharuan kepada Malaysia.
Beliau dalam pada itu sekali lagi mengulangi pendirian utama kerajaan Pakatan Harapan untuk tidak memberi ruang kepada gerakan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) bertapak di Malaysia. – UTUSAN ONLINE











