Ipoh jadi bandar raya sukan – MB - Utusan Malaysia

Ipoh jadi bandar raya sukan – MB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 26 Sept. – Kerajaan negeri berhasrat untuk menjadikan Ipoh sebagai bandar sukan dan hab kepada penganjuran pelbagai acara, sekali gus pilihan kepada penggemar sukan lasak dan elektronik atau e-Sport.

Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu berkata, langkah itu juga bagi memastikan semua kemudahan sukan yang dinaik taraf dan dibina baharu sempena Sukan Malaysia (Sukma) 2018 dapat digunakan sebaik mungkin dan tidak menjadi projek gajah putih.

Katanya, melalui pemba­ngunan bandar sukan itu juga, ia akan menjadi pelengkap kepada Bandar Sukan Kuala Lumpur di Bukit Jalil.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bandar Sukan Ipoh ini akan dijadikan hab bagi pelbagai acara sukan mainstream, ekstrem dan e-Sport yang mana kita memberi lebih pilihan kepada penggiat dan penggemar sukan.

“Kita mahu men­jadikan bandar Ipoh ini bukan sahaja sebagai pusat acara sukan di peringkat negeri malah kebangsaan dan antarabangsa selain menjadi hab bagi pameran serta persidangan sukan.

“Oleh itu, kita akan susun dengan baik perancangan ini bagi membolehkan segala fasili­ti yang ditambah baik atau baharu dibina dapat digunakan sepenuhnya dan tidak menjadi pembaziran,” katanya da­lam sidang akhbar di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatan­kuasa Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Howard Lee Chuan How dan Ke­tua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Ahmad Faizal berkata, bagi merealisasikan hasrat tersebut, pihaknya bercadang menubuhkan perbadanan sukan yang menjaga operasi dan perjalanan semua fasiliti serta kemudahan sukan di negeri ini.

Menurutnya, cadangan tersebut akan dibentangkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak tahun depan.

“Apabila bandar sukan diba­ngunkan, pastinya akan ada banyak acara dianjurkan di sini. Oleh itu, sudah tentu perlu ada penyelenggaraan yang baik secara berterusan bagi memastikan seluruh kawasan kompleks sukan ini terus hidup.

“Perbadanan sukan ini sedang dalam proses untuk dilaksanakan dan memerlukan beberapa perkara dari segi perundangan untuk menjadikan ia sebagai badan berkanun bagi negeri ini,” katanya.

Katanya, pihaknya juga mengemukakan cadangan kepada Kementerian Belia dan Sukan untuk membangunkan sebuah tempat penginapan dalam kawasan kompleks sukan di sini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini