JERANTUT 25 Sept. – Kemunculan sebahagian peserta program Menyusuri Sejarah Perjuangan dan Houl Pahlawan Pahang yang berpakaian seperti pahlawan Melayu mencuri tumpuan orang ramai di Galeri Mat Kilau, Pulau Tawar di sini baru-baru ini.
Kadi Daerah, Syarifuddin Mohamad Sa’ad berkata, program sempena sambutan Hari Kemerdekaan Ke-61 itu merupakan anjuran bersama beberapa agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Jabatan Agama Islam daerah, Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (Perkid), Warisan Mat Kilau dan Majlis Daerah Jerantut (MDJ).
“Acara silat dan memanah mencuri tumpuan ramai apabila peserta mengenakan pakaian pahlawan Melayu bagi mengimbau zaman perjuangan tokoh-tokoh negeri Pahang terutama Mat Kilau dan Datuk Bahaman,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Menurut Syarifuddin, program berkenaan antara lain bertujuan membangkitkan kesedaran masyarakat Islam tentang perjuangan pahlawan Melayu pada zaman dahulu bagi berdepan penjajahan zaman moden.
“Pengisian program kita juga memberi fokus kepada kebudayaan tradisional. Kita turut menziarahi makam Mat Kilau yang terletak di Pulau Tawar,” ujarnya.
Tambahnya, program tersebut dihadiri tokoh-tokoh agama dan pemimpin masyarakat di daerah ini.
Beliau berharap program berkenaan dapat membangkitkan semangat patriotik dalam kalangan penduduk dan perlu diteruskan pada masa akan datang.











