KUALA LUMPUR 25 Sept. – MTD Group memperoleh kemudahan pembiayaan RM1.5 bilion bagi pembangunan bercampur One Crown Place di Shoreditch, London.

Kemudahan tersebut diperoleh daripada dana pencen terbesar Australia, AustralianSuper dan TH Real Estate, satu daripada pengurus pelaburan hartanah terbesar dunia.
Ketua Pegawai Kewangan MTD Group, Tee Kim Siew menyifatkan pemerolehan kemudahan itu merupakan kejayaan besar bagi syarikat, didorong kekuatan jenama MTD dan pihak di sebalik pembangunan One Crown Place.
“Kesemua ini akan mengukuhkan lagi kedudukan kami di London. Kami amat berbangga dan mencari peluang untuk terus menjalinkan hubungan dengan rakan kongsi baharu kami, TH Real Estate dan AustralianSuper,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
One Crown Plaza, projek berkeluasan 34,420.58 meter persegi dibangunkan oleh anak syarikat milik penuh MTD Group, MTD (Jersey) Ltd, mempunyai nilai pembangunan kasar 500 juta pound (RM2.71 bilion).
Pada masa ini, AustralianSuper menguruskan AUD$2.3 bilion (RM6.89 bilion) dalam portfolio kredit langsung dan AUD$10 bilion (RM29.95 bilion) dalam portfolio ekuiti hartanah, manakala TH Real Estate mempunyai aset di bawah pengurusan berkaitan hutang hartanah komersial bernilai AS$3.3 bilion (RM13.64 bilion) di Eropah.
Pembangunan One Crown Place, yang diperoleh dari UBS pada 2013 merupakan penyertaan pertama MTD Group dalam pasaran hartanah di London selepas lebih 15 tahun.
Projek tersebut merangkumi ruang pejabat berkeluasan 12,634.8 meter persegi dan 650.3 meter persegi ruang runcit.
Selain itu, ia dilengkapi dengan hotel butik dengan 41 katil, 246 unit kediaman mewah serta kediaman teres bersejarah King George yang akan dipulihkan sebagai sebahagian daripada projek itu.
Sebelum itu, antara 1996 dan 2000, kumpulan mempunyai pegangan satu pertiga dalam Spitalfields Development Group (SDG), syarikat usaha sama yang mengambil alih pasaran Spitalfields yang membangunkan semula projek menerusi anak syarikatnya, Metacorp. Bhd.











