Pacu pembaharuan UMNO - Utusan Malaysia

Pacu pembaharuan UMNO

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

Perhimpunan Agung UMNO 2018 yang akan berlangsung hujung minggu ini dianggap medan penting bagi mengumpul semula kekuatan dan mengembalikan keyakinan kesemua ahli terutamanya golongan muda dalam Pemuda UMNO sekali gus memacu pembaharuan dalam parti.

 

Tanggungjawab Pemuda UMNO dalam era baharu sebagai pembangkang ketika ini dihuraikan Naib Ketuanya, SHAHRIL SUFIAN HAMDAN (gambar) ketika dihubungi wartawan Utusan Malaysia, AFIQ MOHD. SHAH di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

UTUSAN: Perhimpunan Agung UMNO kali ini semestinya berbeza berbanding sebelumnya kerana ini tahun pertama UMNO sebagai pembangkang. Apakah isu yang akan diberi perhatian oleh saudara dan Pemuda UMNO?

Memuatkan artikel berkaitan…

SHAHRIL SUFIAN: Soal hala tuju parti sekarang amat mustahak kerana UMNO akan terumbang-ambing tanpa hala tuju jelas. Saya yakin perwakilan mempunyai pandangan masing-masing yang wajib kita amati. Di samping itu, saya yakin kepemimpinan tertinggi terutamanya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi juga sudah bersedia memberikan amanat jelas kepada akar umbi mengenai arah yang ingin beliau saksikan supaya kita menjadi pembangkang berwibawa. Hanya dengan hala tuju tepat dan jelas barulah mampu meredakan keresahan ahli yang melihat pelbagai isu melanda parti termasuklah akaun dibekukan dan beberapa wakil rakyat meninggalkan bahtera.

Dalam era UMNO sebagai pembangkang ketika ini, Pemuda tentunya mempunyai tanggungjawab lebih berat dan peranan lebih besar. Apa yang telah dan akan saudara lakukan selepas mengambil alih jawatan Naib Ketua Pemuda?

Memang benar, Pemuda mempunyai tanggungjawab yang berat untuk membantu memacu pembaharuan dalam UMNO supaya lebih serasi de­ngan cita rasa pengundi khususnya golongan muda yang menjadi sasaran utama sayap ini. Gerak kerja Pemuda tidak boleh lagi berlandaskan formula sewaktu dalam kerajaan iaitu sebagai pendesak mahupun pengamal khidmat bakti. Sebaliknya, Pemuda perlu ‘menangkap imaginasi’ pengundi yang rata-rata memilih Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Apakah hala tuju Pemuda selepas ini?

Pemuda di bawah kepe­mimpinan Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki sebagai Ketua Pemuda membawa suatu hala tuju yang sentiasa memandang ke akar umbi dengan mende­ngar rintihan dan suara mereka ke arah kebangkitan Pemuda sehingga ke peringkat bahagian dan cawangan. Selebihnya, biarlah Asyraf Wajdi sendiri yang olahkan. Mungkin dalam ucapan dasar beliau dalam Perhimpunan Agung UMNO nanti.

Saudara dilihat sebagai seorang anak muda progresif manakala Asyraf Wajdi pula membawa imej Islam. Bagaimana saudara menyesuaikan diri dengan kepemimpinan Asyraf Wajdi?

Itu soalan nakal. Hala tuju telah beliau gariskan dengan pecahan sekretariat dan sebagainya, maka tiada perbezaan antara kami. Kepemimpinan beliau amat terbuka memberi ruang untuk semua Exco memberi pandangan dan menyumbang kepada imej Pemuda. Saya melihat gandingan beliau sebagai Ketua dan saya selaku Naib saling melengkapi tanpa bercanggah.

Era Pemuda dipimpin oleh Asyraf Wajdi dan anda sendiri ketika ini, Pemuda dilihat sebagai ‘gerakan yang baik’, bagaimana anda lihat mengenai perkara ini? Adakah perlu Pemuda mengekspresikan pandangan dengan berada di jalanan atau ada cara lain?

Ini pun mirip soalan nakal. Pada saya, seluruh UMNO adalah good side. Persoalannya bagaimana menterjemahkan keikhlasan pemimpin dan ahli parti kepada suatu tawaran politik yang diminati rakyat. Teori, retorik, ucapan dan sorakan bersemangat dalam ‘kolam’ UMNO sahaja tidak memadai. Dengan masa, usaha dan ketentuan Allah, kita doakan penterjemahan itu akan berlaku. Namun ke arah itu, Pemuda akan sentiasa membawa segala suara dan nadi yang kami rasai di bawah ini ke pe­ringkat kepemimpinan atasan, sesuai dengan fitrah sayap ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini