SUBANG JAYA – Seorang lelaki ditemui maut di dalam kereta dalam satu kejadian di Kilometer 35.2 di Lebuh Raya Shah Alam (Kesas) dari Shah Alam menghala ke Subang hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pada pukul 6 petang itu, mangsa, Rusli Mahmud, 58, ditemui tidak sedarkan diri dalam sebuah kereta jenis Proton Persona berwarna hitam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, Timbalan Penguasa Bomba Syed Shahril Anuar Syed Sulaiman berkata, bomba menerima panggilan kecemasan tentang kejadian tersebut pada pukul 6.12 petang dan seramai 16 anggota beserta sebuah jentera dan kenderaan Unit Kecemasan Perkhidmatan Penyelamat Perubatan (ERMS) dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Ketika tiba di tempat kejadian didapati pintu kereta tersebut berkunci dan anggota bomba bertindak mengumpil pintu bagi membuka cermin kereta itu.
“Anggota ERMS kemudiannya memberikan rawatan awal bantuan kecemasan pernafasan (CPR) sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan dari Pusat Perubatan Universiti Malaya(PPUM),” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Tambah Syed Shahril, pihaknya difahamkan bahawa mangsa telah mengadu mengalami kesakitan di bahagian dada dan pergi ke klinik sebelum kejadian.
“Ketika pasukan bomba datang, kereta mangsa berada di lorong kanan lebuh raya itu dan gear keretanya dalam mod ‘D’.
“Mayat mangsa kemudian dibawa ke PPUM untuk dibedah siasat dan urusan seterusnya diserahkan kepada pihak polis,” ujarnya. – K! ONLINE











