KUALA TERENGGANU 25 Sept. – Kerajaan Pas meneruskan Pesta Pantai, acara tahunan dalam kalendar pelancongan negeri yang dijenamakan semula dengan nama Karnival Pantai Terengganu, bermula tahun ini.
Pogram yang akan berlangsung di Pantai Batu Burok pada 27 hingga 29 September ini masih mengekalkan sebahagian besar pengisian acara yang pernah diadakan sebelum ini.
Utusan Online diifahamkan penjenamaan semula program ini adalah selaras dengan pendekatan baharu diambil di bawah pentadbiran kerajaan Pas.
Antara aktiviti yang dikekalkan ialah
pameran dan gerai jualan, persembahan kebudayaan, demonstrasi masakan tradisional, pertandingan permainan tradisional dan demonstrasi kraftangan dan ukiran batik.
Turut diadakan pada karnival kali ini ialah persembahan malam kesenian Islam, jualan food track dan boot sale dan Santai Anok Tranung.
Setiap persembahan pentas diadakan lebih berunsur keIslaman dan mendidik tanpa melibatkan percampuran dan pergerakan antara lelaki dan wanita di atas pentas.
Acara Santai Anok Tranung pula lebih kepada program perbincangan ilmu yang menampilkan ahli panel terdiri daripada penceramah Azhar Idrus, pelawak terkenal, Sabree Yunus serta dua atlet anak negeri iaitu, Khairul Anuar Mohamad (atlet memanah) dan Siti Rahmah Mohamed Nasir (pencak Silat).- UTUSAN ONLINE











