SERIAN – Seorang kanak-kanak perempuan terpaksa menahan kesakitan selama kira-kira tiga jam selepas kaki kanannya tersekat dalam saluran lubang paip di sebuah bilik mandi di Taman Pasir di sini hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pasukan bomba mengambil masa kira-kira tiga jam untuk mengeluarkan kaki kanak-kanak berusia enam tahun itu.
Menurutnya, sebelum itu ahli keluarga mangsa cuba untuk mengeluarkan kaki kanak-kanak terbabit, namun menemui jalan buntu sebelum menghubungi pihak bomba untuk memohon bantuan khas.
“Sepasukan enam anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian kemudian diarahkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada pukul 12.13 tengah hari.
“Apabila tiba di kawasan perumahan tersebut, kaki kanak-kanak berkenaan masih dalam keadaan tersekat di dalam lubang paip jenis plastik sebelum melakukan operasi mengeluarkan kaki mangsa,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Ling Hii menambah, pasukan bomba terpaksa bertindak memecahkan simen lantai di tepi saluran air itu dengan mengunakan peralatan khas bagi mengeluarkan kaki mangsa.
Ujarnya, saluran paip tersebut kemudian dipotong menggunakan gergaji khas bagi mengeluarkan kaki kanak-kanak berkenaan.
“Kaki mangsa kemudian berjaya dikeluarkan tanpa mengalami kecederaan serius.
“Mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak perubatan untuk mendapatkan rawatan awal sebelum operasi ditamatkan pada pukul 4.08 petang,” jelasnya lagi. – K! ONLINE











