KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu hari ini mengadakan mesyuarat dua hala dengan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), James Norman Mattis di Pentagon, Washington bagi membincangkan isu keamanan.
Kementerian Pertahanan dalam kenyataan di sini berkata, perbincangan itu antara lain menyentuh isu keamanan di Laut China Selatan dengan Malaysia akan kekal berpendirian sebagai negara berkecuali.
“Perbincangan hampir sejam itu turut membincangkan isu bagi menangani ancaman pengganas ISIS dan membendung pemikiran terorisme,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, Malaysia juga membangkitkan isu penghapusan etnik Rohingya untuk perhatian AS agar kuasa besar tersebut segera campur tangan memandangkan ia bukan lagi isu domestik di Myanmar tetapi isu kemanusiaan sejagat.
Malaysia berpandangan jika isu Rohingya tidak ditangani segera ia bakal mengulangi apa yang terjadi di negara Palestin apabila rakyatnya dibunuh dan tanah dijajah sekali gus dibimbangi akan mampu menyuburkan fahaman Daesh, demikian menurut kenyataan tersebut. – Bernama











