KUALA LUMPUR 25 Sept. – Barisan Nasional (BN) tidak seharusnya memboikot Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson pada 13 Oktober ini sebaliknya perlu mencalonkan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan di kerusi tersebut.
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Dr. Ibrahim Ali berkata, tindakan BN memboikot PRK Port Dickson ibarat merendah-rendahkan parti tersebut malah alasan yang diberikan tidak boleh diterima.
“Keputusan itu memeranjatkan, saya menjangkakan Mohamad akan dipilih sebagai calon BN di Parlimen Port Dickson tetapi UMNO memberikan pelbagai alasan.
“Jangan berikan pelbagai alasan selepas menolak untuk bertanding, sepatutnya BN meletakkan calon kerana menang atau kalah itu soal lain,” katanya ketika sidang akhbar di pejabat Perkasa di sini, hari ini. – UTUSAN ONLINE











