PGA Sarawak rampas rokok seludup bernilai RM115,425 sebelum cukai - Utusan Malaysia

PGA Sarawak rampas rokok seludup bernilai RM115,425 sebelum cukai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING – Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak berjaya menumpaskan kegiatan penyeludupan rokok pelbagai jenama menerusi satu serbuan di sebuah stor penyimpanan di Jalan Stakan di sini hari ini.

Menerusi Op Libas kira-kira pukul 10 pagi itu, anggota PGA bersama pegawai dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga telah menahan tiga lelaki yang berusia antara 21 hingga 65 tahun.

Komander Briged Sarawak PGA, Datuk Khaw Kok Chin berkata, semasa serbuan tersebut, pasukan serbuan berjaya menemui 71 kotak yang mengandungi 5,320 karton rokok yang disimpan di dalam stor berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagaimanapun katanya, sebelum kejayaan itu, sepasukan anggota risikan telah menahan dua lelaki yang menaiki sebuah van yang membawa muatan 20 kotak minuman keras.

“Susulan penahanan tersebut telah membawa kepada serbuan di sebuah stor penyimpanan di situ selepas mereka gagal menunjukkan dokumen percukaian sah minuman keras tersebut.

“Nilai rampasan keseluruhan rokok dan minuman keras sebelum cukai dianggarkan sebanyak RM115,425,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat PGA Sarawak di sini sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Kok Chin memberitahu, siasatan awal mendapati kesemua rokok tersebut dipercayai dibawa masuk dari negara jiran untuk pasaran tempatan.

Jelas beliau, ketiga-tiga suspek yang juga merupakan lelaki tempatan telah ditahan untuk siasatan dan tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967.

“Jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda 10 kali ganda daripada nilai duti atau cukai dan tidak melebihi 20 kali ganda daripada nilai duti atau cukai terbabit atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya,” ujarnya lagi. – K! ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini