Lima pelajar cedera terkena bumbung runtuh akibat ribut - Utusan Malaysia

Lima pelajar cedera terkena bumbung runtuh akibat ribut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 24 Sept. – Lima pelajar cedera akibat terkena bumbung yang runtuh dalam kejadian ribut di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Keat Hwa, di sini pagi tadi.

Salah seorang pelajar yang cedera dalam kejadian ribut.-Foto Media Sosial.
Salah seorang pelajar yang cedera dalam kejadian ribut.-Foto Media Sosial. 

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.05 pagi itu, seorang pelajar tingkatan tiga, Teoh Shi Wan cedera pada bahagian kepala selepas terkena siling yang runtuh.

Sementara empat yang lain iaitu Oii N Gel, Oii Nian Ning, Loxe Chong Yee Xin dan Maisy Lee Zi Yee mengalami kecederaan pada bahagian bahu, kaki dan tangan dipercayai akibat terkena serpihan kaca yang pecah.

Memuatkan artikel berkaitan…

Difahamkan kesemua pelajar yang cedera dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, di sini untuk mendapatkan rawatan.

Pengetuanya, Wong Ghee Hong berkata, kebanyakan pelajar sudah berada dalam pekarangan sekolah ketika kejadian ribut yang berlaku dalam sekelip mata.

“Pelajar yang cedera itu dipercayai berada dalam kelas dan kaki lima (bangunan sekolah).

“Saya dimaklumkan kecederaan pelajar terlibat tidak serius. Cuma seorang pelajar yang  cedera pada bahagian bahu perlu menjalani ujian X-ray,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut Ghee Hong, hampir kesemua bahagian bumbung di enam buah bangunan di sekolah ini terjejas akibat kejadian ribut pagi tadi.

“Pada masa ini, kita telah memindahkan pelajar ke dewan sementara bahagian kejuruteraan JKR (Jabatan Kerja Raya) membuat pemeriksaan sama ada bangunan-bangunan terlibat selamat digunakan atau sebaliknya.

“Selain itu, kita juga masih menunggu keputusan JPN (Jabatan Pendidikan Negeri) sama ada sesi persekolahan akan diteruskan atau sebaliknya,” ujarnya.

Tambahnya, pihaknya masih belum mengenalpasti jumlah kerugian namun dianggarkan kos untuk membaik pulih bangunam tersebut mencecah antara RM40,000 hingga RM80,000.-UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini