KUALA LUMPUR 24 Sept. – Kerajaan terpaksa menimbang semula untuk menarik balik pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang dikenakan terhadap bahan binaan dan perkhidmatan pembinaan sekiranya pemaju hartanah ingkar untuk menurunkan harga rumah.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, pihaknya sedang menunggu hasil kajian dari Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) dan akan mengumumkan keputusan berkenaan pengecualian SST sebelum pembentangan bajet akan datang.
“Buat masa ini, pengecualian SST telah diberikan dan pihak kerajaan mengharapkan pengurangan harga rumah,” katanya kepada pemberita sempena Persidangan Tahunan Pemaju Hartanah di sini hari ini.
Antara bahan pembinaan yang tidak dikenakan SST adalah seperti simen, pasir dan juga besi. – UTUSAN ONLINE











