KUALA LUMPUR 24 Sept. – CIMB Group Holdings Bhd, penyedia perkhidmatan kewangan kedua terbesar di Malaysia daripada segi aset telah disenaraikan dalam kalangan 100 organisasi paling pelbagai dan inklusif di dunia oleh Indeks Kepelbagaian dan Inklusi (D&I) 2018 Thomson Reuters.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata, kedudukan itu adalah berdasarkan kepada data alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) syarikat media tersebut yang bertujuan mengukur secara objektif prestasi lebih daripada 7,000 syarikat di seluruh dunia.
“Pengiktirafan dalam Indeks D&I Thomson Reuters D&I mengukuhkan lagi usaha kami untuk mewujudkan impak positif bukan hanya dari segi ekonomi, tetapi juga dari segi sosial dan alam sekitar,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Zafrul berkata, kumpulan perbankan itu giat berusaha untuk berubah menjadi tempat kerja yang dapat menarik dan mengekalkan kumpulan pekerja yang hari ini terdiri daripada 34 warganegara di 15 negara.
Bagi usaha berkaitan ESG, Tengku Zafrul berkata, cabang tanggungjawab sosial korporat CIMB, CIMB Foundation, telah membelanjakan lebih RM120 juta untuk memberi manfaat kepada kira-kira 700,000 penerima sejak ditubuhkan pada 2007. – UTUSAN ONLINE











