PASIR PUTEH – Guru Sekolah Kebangsaan (SK) Cherang Ruku, dekat sini, sepakat membantu ibu bapa membawa murid sakit menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang bermula hari ini.
Guru Besar sekolah itu, Faxrurazi Nasir berkata, murid Tahun Enam, Muhammad Arif Muizzudin Amran, 12, yang terlibat dalam kemalangan baru-baru ini masih belum mampu berjalan dijemput guru seawal pagi bagi memberi peluang kepadanya menjawab soalan UPSR.
Menurutnya, tugasan guru mengambil dan menghantar pulang ke rumah sejauh 600 meter dari sekolah berterusan sehingga UPSR berakhir.
“Kami membantu berasaskan kepada konsep kebersamaan tanggungjawab guru dan ibu bapa dalam memastikan kemenjadian murid dalam pelbagai keperluan pendidikan yang juga sejajar dengan Program Penyayang dilaksanakan di sekolah.
“Bapa murid berkenaan Amran Awang yang berkhidmat di Markas Angkatan Tentera Malaysia, Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan Pertahanan, Kem Kementah, Kuala Lumpur memohon ihsan guru bagi membolehkan Muhammad Arif yang masih bercuti hadir ke dewan peperiksaan, ” katanya ketika ditemui di SK Cherang Ruku di sini hari ini.
Turut melawat ke Pusat UPSR itu, Ketua Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Harun Yusof yang meminta meja besar disediakan kepada calon berkenaan untuk keselesaan menjawab soalan peperiksaan.
Faxrurazi berkata, kerusi roda yang digunakan sepanjang tempoh UPSR diberi pinjam oleh mantan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah itu, Muhammad Ibrahim yang sepatutnya digunakan bagi pengurusan ahli keluarganya yang sakit kronik.
“Kita berterima kasih kepada Ayah Mat (Muhammad Ibrahim) yang amat prihatin serta sanggup mengorbankan keperluan keluarga sendiri untuk keselesaan murid sekolah ini. Jasanya dalam PIBG mencecah hampir 30 tahun amat dihargai,” katanya.
Menurutnya, pada malam Khamis lalu guru, ibu bapa dan murid hadir menyempurnakan solat hajat dan bacaan surah Yassin untuk berdoa keberkatan selepas pelbagai usaha untuk kecemerlangan UPSR 2018 dilaksanakan.
Katanya, sebuah majlis restu ilmu dan suapan pulut semangat turut diadakan semalam untuk memberi semangat murid yang menghadapi peperiksaan selain menyediakan sarapan pagi percuma kepada calon peperiksaan. – K! ONLINE











