KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak menolak kemungkinan terdapat unsur sabotaj untuk mencemarkan imej parti itu susulan kekecohan yang berlaku pada pemilihan parti itu di Kedah dan Pulau Pinang kelmarin.
Pengarah Komunikasi PKR, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata, Lembaga Displin PKR perlu lakukan siasatan segera berhubung insiden itu dan mengenal pasti individu yang terlibat.
“Saya minta Lembaga Displin PKR untuk teliti video kekecohan itu dan individu yang terlibat, mereka perlu dikenakan tindakan displin yang keras kerana nasihat serta garis panduan sepanjang proses pemilihan adalah jelas dan kerap diingatkan.
“Saya tidak menolak kemungkinan perkara itu (unsur sabotaj) berlaku malah jika ada unsur jenayah kita mahu Polis Diraja Malaysia ambil tindakan sewajarnya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program My Community Care 2018 di Dataran Sri Angkasa Jaya, Taman Bukit Angkasa, Pantai Dalam di sini semalam.











