Penduduk Palestin diarah berpindah - Utusan Malaysia

Penduduk Palestin diarah berpindah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KHAN AL-AHMAR, Te­bing Barat – Israel semalam memaklumkan penduduk di Khan Al-Ahmar, sebuah perkampungan Arab Badwi di Tebing Barat, supaya me­ngosongkan rumah mereka selewat-lewatnya 1 Oktober ini.

Kawasan penempatan Khan Al-Ahmar yang terdiri daripada pondok kayu itu dibina di lereng sebuah bukit berhampiran beberapa pe­nempatan ha­ram Israel di laluan menghala ke Laut Mati.

Israel mahu merobohkan perkampungan itu dan me­nempatkan 180 penduduk kampung itu yang menyara kehidupan dengan menternak kambing dan biri-biri, ke lokasi lain sejauh 7 kilome­ter dari Al-Ahmar.

Memuatkan artikel berkaitan…

Lokasi itu terletak berhampiran perkampungan Pa­lestin, Abu Dis dan sebuah tapak pelupusan sampah.

Rancangan Rejim Zio­nis itu dikecam hebat oleh pen­duduk Palestin dan be­be­rapa negara Eropah yang menyifatkan ia menjejaskan masyarakat Palestin dan prospek perdamaian di Asia Barat.

Seorang jurucakap pegawai tentera Israel yang berhubung dengan penduduk Palestin itu berkata, tiada sebarang tarikh ditetapkan untuk merobohkan perkampu­ngan itu walaupun penduduk ma­sih mendia­mi rumah mereka selepas tarikh akhir tersebut tamat.

Semalam tentera Israel menyerahkan surat yang meminta penduduk seca­ra sukarela merobohkan ke­dia­man mereka selewat-lewatnya 1 Oktober ini atau pihak berkuasa Israel akan merobohkan penempatan itu.

“Kami tidak akan secara sukarela mengosongkan ka­wasan ini. Pasukan tentera Israel yang mempunyai anggota tentera dan senjata boleh mengusir kami de­ngan ke­kerasan tetapi kami tidak mempunyai tempat lain, jadi, kami enggan berpindah ke tempat lain,” kata seorang penduduk, Faisal Abu Dahuk.

Mahkamah Agung Israel menolak petisyen untuk menghalang tindakan merobohkan perkampu­ng­an tersebut dengan alasan ia dibina tanpa permit sah. Bagaimanapun, penduduk Pales­tin berkata, mustahil pihak berkuasa Israel meluluskan permit kepada mereka. – Reuters

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini