Chong Wei tunjuk petanda positif - Utusan Malaysia

Chong Wei tunjuk petanda positif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARAH hidung peringkat awal yang dihidapi jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei ketika ini nyata mengundang resah serta menimbulkan persoalan dalam kalangan peminat sukan badminton tempatan dan luar negara.

Apa tidaknya, selepas Chong Wei terpaksa berundur buat seketika daripada sebarang aksi, belum ada pencapai­an-pencapaian membanggakan dicipta oleh pemain-pemain negara dalam beberapa kejohanan ketika ini.

Justeru, timbul persoalan sama ada bekas pemain No. 1 dunia itu akan mampu kembali ke gelanggang sebaik sahaja dia selesai menjalani rawatan di Taiwan atau sebaliknya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Jurulatih perseorangan lelaki kebangsaan, Hendrawan yang melawat Chong Wei baru-baru ini mengesahkan bahawa pemenang tiga pi­ngat perak Sukan Olimpik itu sudah beransur pulih, namun belum pasti sama ada akan kembali beraksi atau tidak.

“Apa yang saya dapat lihat, rawatannya berjalan dengan baik dan hasilnya juga dilihat menunjukkan petanda positif. Mengenai kemunculan semula Chong Wei ke gelanggang, ia belum diputuskan buat masa ini.

“Kita tunggu kepulangan Chong Wei sebaik dia selesai menjalani rawatan, kemudian baru kami akan mengadakan perbincangan mengenai masa depannya. Buat masa ini, kita beri ruang kepada Chong Wei untuk menjalani rawatan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Semalam, Kosmo! melapor­kan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menerusi Pre­sidennya, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria mengesahkan Chong Wei didiagnosis menghidapi penyakit tersebut selepas status kesihatan jagoan badminton negara itu tular di laman media sosial kelmarin.

Pada masa sama, Norza juga menggesa para peminat supaya memberi ruang dan menghormati privasi pemain berusia 36 tahun tersebut serta memberi sokongan kepada Chong Wei bagi menghadapi situasi sukar seperti ini.

Sebelum dikesan menghidap barah tersebut, Chong Wei menunjukkan prestasi yang amat membanggakan dalam beberapa kejohanan disertai termasuk muncul juara Terbuka Malaysia serta memenangi pingat emas Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini