[VIDEO] Pelajar tahfiz menang kes saman RM4.3 juta - Utusan Malaysia

[VIDEO] Pelajar tahfiz menang kes saman RM4.3 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 23 Sept. – Derita yang terpaksa ditanggung oleh sebuah keluarga terubat apabila Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan pihak pentadbir Maahad Tahfiz Al-Hashimi, Kuala Krai membayar ganti rugi sebanyak RM4.3 juta kerana menyebabkan anak mereka mengalami kecacatan kekal akibat kemalangan pada tahun lalu.


Video oleh SHIDDIEQIIN ZON

Muhammad Faiz Hafizuddin Mohd. Izahir, 18, yang terlantar di atas katil dan terpaksa memakai tiub makanan serta beg ken­cing akibat kemalangan itu turut dibawa ke mahkamah tersebut oleh ibunya, Jahsuriawany Mustapha, 46, dan ditemani suaminya, Mohd. Izahir Kasim, 50.

Memuatkan artikel berkaitan…

Jahsuriawany berkata, ganti rugi itu bukan untuk kegu­naan lain tetapi bagi menanggung perbelanjaan anaknya yang terpaksa menempuh kehidupan tidak sama seperti remaja lain.

“Duit dapat seberapa banyak sekalipun, tetap tidak dapat menggantikan kesihatan anak,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Anak kedua daripada lima beradik itu memperoleh ganti rugi sebanyak RM4.3 juta ekoran kecuaian pengurusan sekolah berkenaan sehingga menyebabkan plaintif mengalami kecaca­tan kekal seumur hidup.

Hakim Nazri Ismail mengarahkan tiga defendan iaitu Pe­ngasas Maahad Tahfiz tersebut, Datuk Adnan Hashim; pemandu van, Muhammad Hamzi Mohammad Husham dan syarikat van, Ct-one Corporation Sdn. Bhd. membayar keseluruhan ganti rugi tersebut.

Ganti rugi itu melibatkan pelbagai kos seperti pembe­lian lampin pakai buang, tiub makanan, susu formula dan jururawat persendirian yang terpaksa ditanggung oleh keluarga plaintif bahkan mangsa turut mengalami kecederaan di kepala dan retak saraf tunjang.

Dalam kes saman itu, plaintif terdiri daripada Muhammad Faiz dan Jahsuriawany diwakili peguam, R. Kameswary dan Mazlinda Mahmud manakala defendan diwaki­li Tetuan Tengku Azlina, Azlan Shah & Azman. Bagaima­napun, kesemua defendan tidak menghadiri prosiding kes hari ini.

Sementara itu, Kameswary ketika ditemui pemberita berkata, plaintif memulakan tuntutan pada April lalu dan proses perbicaraan memakan masa selama dua hari dengan empat saksi dipanggil.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini