PRK Port Dickson: UMNO tentukan hari ini - Utusan Malaysia

PRK Port Dickson: UMNO tentukan hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 23 Sept. – Sama ada UMNO akan meletakkan calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson atau memberi laluan mudah kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menang bakal diputuskan esok.

ASYRAF WAJDI DUSUKI

Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Pergerakan Pemudanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki ketika ditemui selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato Onn di sini hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Asyraf Wajdi memberitahu, mesyuarat biro politik akan diadakan esok bagi memutuskan mengenai perkara itu.

Walau bagaimanapun, menurut sumber, UMNO berkemungkinan tidak meletakkan calon mereka pada PRK berkenaan.

Beliau memberitahu, perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat hari ini tetapi masih belum ada keputusan mengenainya.

Menurut sumber, terdapat pe­tanda yang menunjukkan UMNO berkemungkinan tidak meletak calon bagi menentang Anwar dalam PRK tersebut.

Sekiranya benar UMNO tidak meletakkan calon, laluan Anwar untuk memenangi Parlimen itu lebih mudah, sekali gus merea­lisasikan hasratnya menjadi Per­dana Menteri.

Pas sebelum ini pula menyatakan kesediaan parti itu memberi laluan kepada UMNO untuk bertanding di Port Dickson dan membantu dari aspek jentera pilihan raya.

Sementara itu, beliau menasihatkan ahli UMNO supaya tidak perlu gundah-gulana de­ngan perkembangan yang melibatkan parti itu sejak kebelakangan ini.

“Parti kita wakili suara Me­layu Islam terbesar, jadi kita ja­ngan rasa gundah-gulana ­ ke­rana kekuatan kita adalah akar umbi.

“Akar umbi sedang menantikan mesej yang hendak kita sampaikan. Kita tidak perlu menagih belas ihsan daripada mana-mana pihak kerana yang pa­ling penting kita kena jelaskan apa yang diinginkan,” katanya.

Menurut Asyraf Wajdi, me­syuarat hari ini menumpukan kepada persiapan Perhimpunan Agung UMNO hujung bulan ini dan hala tuju parti.

Beliau memberitahu, perkara berkaitan beberapa bekas Ahli Parlimen UMNO yang meninggalkan parti itu turut disentuh.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini