IPOH 23 Sept. – Seorang daripada dua lelaki yang dimasukkan ke hospital dan dilaporkan kritikal kerana keracunan metanol setelah mengambil minuman beralkohol, meninggal dunia semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia, Hal Ehwal Pengguna dan Integrasi Nasional negeri, A. Sivanesan berkata, mangsa yang meninggal dunia pada pagi semalam itu dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini sejak Rabu lalu.
“Mangsa dimasukkan ke HRPB dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) apabila mengalami sesak nafas, sakit perut, loya dan muntah-muntah setelah mengambil minuman alkohol.
“Seorang lagi mangsa yang kritikal masih dirawat, manakala lelaki berusia 35 tahun yang dilaporkan stabil sebelum ini telah dibenarkan keluar wad,” katanya ketika ditemui selepas program Memory Walk 2018 di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz di sini hari ini.
Akhbar baru-baru ini melaporkan dua lelaki maut di negeri ini dengan tiga lagi dimasukkan ke hospital selepas dipercayai keracunan metanol setelah mengambil minuman beralkohol.
Kematian pertama melibatkan seorang lelaki berusia 39 tahun di sebuah hospital swasta di sini, manakala lelaki berusia 50 tahun pula meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke HRPB.
Dua lagi lelaki masing-masing berusia 41 dan 53 tahun kini dirawat di ICU HRPB, manakala seorang lagi pesakit berusia 35 tahun pula dilaporkan stabil.
Mengulas lanjut Sivanesan memberitahu, dua kes baharu dilaporkan masing-masing di Hospital Taiping dan HRPB, menjadikan tujuh kes setakat ini.
“Kematian terbaharu itu menjadikan jumlah mangsa yang maut akibat keracunan alkohol di negeri ini seramai tiga orang,” katanya.
Sementara itu, dalam kes berlainan beliau berkata, terdapat kes penularan wabak beguk berlaku di Sekolah Tuanku Abdul Rahman sejak beberapa hari lalu.
Ujarnya, kesemua mangsa telah dikuarantin di sekolah dan dipantau rapi Jabatan Kesihatan negeri bagi mengelak merebak.
“Saya belum dapat laporan lengkap mengenai kes ini, namun keadaannya terkawal,” katanya.











