SAUDARA PENGARANG,
Apabila terbaca tentang cadangan menurunkan had umur kelayakan mengundi daripada 21 tahun ke 18 tahun, saya merasakan ini satu keputusan yang mengarut.
Pada usia itu, seorang remaja hendak membuat pilihan melanjutkan pelajaran ke peringkat diploma, matriks atau tingkatan enam pun penuh rasa ragu-ragu dan dipengaruhi ideologi ibu bapa mereka. Inikan pula memilih untuk menentukan pemerintah dan masa depan negara?
Umur 18 tahun terlalu ‘setahun jagung’ untuk menganalisis sejarah dan masalah negara. Darah muda sebegini cenderung untuk mengikut pandangan popular dan berdemo.
Sukar dinafikan usia 18 tahun bukanlah usia yang matang apabila anak muda kini berlumba-lumba mengejar populariti, memeriahkan aplikasi seperti TikTok, WeChat dan Bigo.
Tidak dinafikan ada dalam kalangan anak muda kita yang dididik sempurna, namun jujurlah wahai rakyat Malaysia, berdasarkan lambakan posting remaja bawah umur di media sosial, adakah anda rasa mereka layak memilih kepemimpinan negara?
NUR IZZATI ARIFFIN
Shah Alam











