BEIJING 23 Sept. – China Communications Construction Company (CCCC), kontraktor bagi Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sejauh 688-kilometer, berharap kerajaan Malaysia tidak mengambil masa lama bagi melakukan semakan semula projek tersebut.
Naib Presidennya, Sun Ziyu berkata, ECRL merupakan projek yang amat terjejas sejak kerajaan baharu mengambil alih pentadbiran Malaysia dan menyifatkan nilai kontrak itu tinggi berikutan aspek penjajarannya yang sukar serta jarak landasan yang panjang dan perlu dilakukan menerusi terowong dan jambatan.
“Kita sedia maklum keperluan kerajaan baharu untuk meneliti semula projek mega itu tetapi mereka tidak seharusnya mengambil masa terlalu lama untuk membuat keputusan,” katanya kepada sekumpulan media Malaysia yang diketuai oleh wakil Kedutaan China di Kuala Lumpur, di ibu pejabat kumpulan CCCC di sini pada Sabtu.
Sun berkata, CCCC telah memulakan kerja-kerja asas, menggali terowong, membina asas jalan, membeli peralatan dan bahan binaan jambatan, mengupah pekerja serta mewujudkan kerjasama dengan lebih 700 subkontraktor, pembekal serta perunding tempatan.
“Bagaimanapun, sejak penggantungan kerja-kerja tersebut, (kami) menanggung kerugian setiap hari. Sebagai kontraktor, ini hanya menjejaskan dan memberi kesan secara negatif kepada kami,” katanya.
Jelas Sun, walaupun CCCC sedia maklum mengenai keperluan kerajaan mengkaji semula projek-projek infrastruktur utama selepas peralihan kerajaan, namun tindakan penggantungan projek itu tidak boleh berlanjutan lama kerana ini tidak menguntungkan kedua-dua pihak.
Beliau turut memberi contoh pembangunan Projek Bandar Pelabuhan Colombo membabitkan pelaburan CCCC di Sri Lanka yang ditangguhkan selama setahun kerana perubahan politik, namun kini berjaya diteruskan dan berjalan lancar.











