Nikah ikut syariat Islam - Utusan Malaysia

Nikah ikut syariat Islam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG 23 Sept. – Pasangan Orang Asli yang mempunyai enam anak teruja apabila bernikah semula dalam program Perkahwinanan Perdana di Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Linggi, Pos Lebir di sini semalam.

Faizal Anjang, 40, dan iste­ri­nya, Lina Ismail, 31, antara 18 pasangan pengantin Orang Asli suku kaum Batek yang sebelum ini bernikah secara adat telah berkahwin semula mengikut syariat Agama Islam.

Program tersebut dianjurkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jhaeik), Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza).

Memuatkan artikel berkaitan…

Kesemua mereka dinikahkan oleh tiga jurunikah bertauliah yang diketuai oleh Pegawai Agama Jajahan Gua Musang, Khairuddin Mohamed.

Sementara itu, Faizal berkata, dia bersyukur kerana dapat menyertai program berkenaan dan membolehkan mereka mendirikan rumah tangga mengikut agama Islam dan mendapat sijil nikah.

Katanya, sebelum ini mereka sudah bernikah secara adat tradisional Orang Asli.

“Anak sulung saya sudah berusia 13 tahun namun saya gembira dan sambutannya seperti saya baru berkahwin.

“Kami masyarakat Orang Asli yang dibimbing oleh pihak Maik selepas memeluk Islam berterima kasih kerana menganjurkan program sebegini setiap tahun di kampung Orang Asli,” katanya di sini, semalam.

Yang turut hadir menyaksikan majlis itu ialah Pengarah Jakoa Kelantan/Terengganu, Hashim Alang Abdul Hamid dan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Unisza, Prof. Dr. Mahazirah Mohamad.

Seorang lagi pengantin baharu, Rahim Hek, 25, berkata, dia bersama isterinya, Rohana Batu, 20, gembira apabila bernikah beramai-ramai.

Katanya, pasangan pengantin yang bernikah mengenakan busana baju melayu dan baju kurung yang disediakan oleh pihak Maik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini