PASIR SALAK 23 Sept. – Lebih 400 anak, cucu dan cicit seorang tokoh agama di daerah ini, Embah Abdul Fatah termasuk dari Indonesia mengadakan perhimpunan keluarga di Kampung Sungai Lampam di sini baru-baru ini.
Selain daripada keturunan Embah Abdul Fatah dari seluruh negara, perhimpunan dihadiri keturunan dari Medan, Aceh.
Seorang cucu Embah Abdul Fatah, Mat Zuaini Ramli Mastol Fatah berkata, sebelum ini perjumpaan sama diadakan di Tapah pada tahun 2014 dan kemudiannya di Tanjung Bayan, Hutan Melintang.
Katanya, keturunan Embah Abdul Fatah kini tinggal berselerak di seluruh negara termasuk di kampung asal di Medan, Sumatera.
“Untuk program ini, saya menghubungi beberapa waris yang berada di Kelantan, Johor, Kedah dan mereka bersetuju menghadiri pertemuan waris Embah Abdul Fatah secara besar-besaran kali kelima di sini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Allahyarham Embah Fatah merupakan antara tokoh agama di daerah ini dan kebanyakan anak cucunya berpendidikan sekolah pondok sehingga ada menjadi ustaz dan guru agama.
Apa yang menarik, perjumpaan diadakan di kawasan sawah padi yang sedang menghijau sekali memberi semangat dan keceriaan kepada semua waris.
Perjumpaan diceriakan dengan majlis suai kenal, kenduri kesyukuran serta menziarahi saudara mara keluarga di sini.
Selain itu, bacaan doa diadakan untuk anak-anak yang akan mengambil peperiksaan, juga mendoakan kesihatan dan keselamatan waris keturunan Embah Abdul Fatah.
Mat Zuaini berkata, pihaknya turut bercadang untuk mengadakan aktiviti yang memberi manfaat kepada waris keturunan Embah Abdul Fatah pada masa akan datang.
“Antaranya waris atau ahli keluarga meninggal dunia akan menerima khairat kematian sebanyak RM400 dan jika mendapat rawatan di hospital lebih tiga hari akan dapat RM100,” katanya.











