Tindakan keras perlu diambil elak keracunan metanol terus berlaku - Lam Thye - Utusan Malaysia

Tindakan keras perlu diambil elak keracunan metanol terus berlaku – Lam Thye

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 23 Sept. – Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan keras dalam menangani kes keracunan metanol terutama membabitkan arak murah atau tercemar bagi memastikan kejadian itu tidak lagi berulang.

Naib Pengerusi Kanan, Yayasan Pencegahan Jenayah, Tan Sri Lee Lam Thye percaya kurangnya kawalan terhadap penjualan alkohol menyebabkan berlakunya kes-kes keracunan tersebut kerana banyak kedai menjual minuman alkohol seludup atau dicampurkan dengan bahan lain sebelum dijual dengan murah.

“Saya berasa hairan mengapa sesetengah minuman keras yang dijual di dalam negara mengandungi metanol yang melebihi tahap yang dibenarkan berdasarkan pendedahan analisis Kementerian Kesihatan di samping, produk terbabit juga tidak mengikuti syarat pelabelan di bawah Peraturan Makanan 1985 yang terletak di bawah Akta Makanan, seperti ketiadaan nama dan alamat pengilang, pengimport atau ejen.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Undang-undang sedia ada juga harus dipinda untuk membendung penjualan minuman beralkohol kerana pada masa ini kedai-kedai arak tumbuh bak cendawan selepas hujan manakala pemantauan oleh pihak berkuasa pula amat lemah. Kerajaan perlu memperkenalkan hukuman penjara mandatori bagi mereka yang menjual alkohol yang diseludup atau dicemari,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas kejadian keracunan alkohol yang mencatatkan berpuluh-puluh kematian di seluruh negara sejak pertengahan bulan ini.

Lam Thye turut menggesa semua rakyat Malaysia membuang sikap tidak ambil peduli dan membantu pihak berkuasa menangani masalah berkaitan pengambilan arak berlebihan yang boleh menyebabkan masalah keluarga, kegagalan dalam kalangan pelajar, kemalangan jalan raya dan pergaduhan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini