KUALA LUMPUR – Tiga individu berusia antara 17 hingga 24 tahun ditahan manakala 14 buah motosikal disita dalam Op Samseng Jalanan yang diadakan di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Seremban arah selatan berhampiran Serdang awal pagi tadi.
Ketua Operasi, Inspektor Firdaus Syafiq Abu Talib berkata, kesemua suspek telah ditahan melalui hasil risikan dan pemantauan yang menunjukkan mereka menunggang secara melulu serta berbahaya dari plaza tol Sungai Besi sehingga ke susur keluar Universiti Putra Malaysia (UPM).
“Rakaman video ketika mereka beraksi telah dibuat bagi memudahkan pihak polis mengenal pasti setiap daripada mereka yang terlibat dan melakukan kesalahan menerusi warna pakaian dan jenis motosikal.
“Pihak polis berjaya menahan 53 penunggang yang secara kebetulan berhenti di stesen minyak Shell berdekatan plaza tol Sungai Besi kira-kira pukul 2 pagi dan dibawa ke Petronas Solaris Serdang untuk proses dokumentasi,” katanya di sini hari ini.
Tambahnya, sebuah motosikal yang ditahan didapati mempunyai rekod hilang dan penunggangnya ditahan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan diikuti dua lagi penunggang mengikut Seksyen 42(1) Akta Pegangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara melulu dan merbahaya.
Dalam masa sama, Firdaus Syafiq memberitahu sebanyak 119 saman telah dikeluarkan atas kesalahan pelbagai termasuk 14 buah motosikal disita kerana penunggangnya tidak mempunyai lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh.
Operasi berkenaan tamat pada pukul 8 pagi tadi dengan penglibatan empat orang pegawai dan 50 anggota polis daripada Unit Risikan dan Operasi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang dan Peronda Lebuhraya Zon Tengah A dan B. – K! ONLINE











