KUALA LUMPUR 22 Sept. – Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria meminta orang ramai agar menghormati privasi Datuk Lee Chong Wei, malah berang dengan tindakan individu yang sanggup menyebarkan berita mengenai penyakit yang dihadapi jaguh badminton negara itu di media sosial.
Mohamad Norza mengesahkan, Chong Wei menghidap kanser hidung tahap awal dan sedang menjalani rawatan di Taiwan.
“BAM mengesahkan bahawa Chong Wei dikesan menghidap kanser hidung peringkat awal dan kini sedang menjalani rawatan.
“Dia memberi respon yang baik terhadap rawatan itu dan sedang berehat bersama ahli keluarga di sana.
“Kami berharap agar semua pihak terus memberikan sokongan kepadanya dan pada masa sama memberi ruang kepadanya untuk berehat buat masa sekarang,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.
Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman juga meminta semua pihak untuk menghormati privasi Chong Wei dan mendoakan agar pemain No.1 negara itu kembali sihat.
“Saya juga sudah memaklumkan perkara ini kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad serta Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali dan Kementerian Belia dan Sukan sentiasa memberikan sokongan kepada ikon negara itu,” katanya.
Sebelum ini pelbagai desas-desus timbul mengenai penyakit yang dihidapi pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik itu terutama selepas dia menarik diri daripada Kejohanan Dunia dan Sukan Asia Jakarta-Palembang.











