MENJADI pemimpin, banyak tanggungjawab yang perlu dipikul di bahu seseorang individu. Justeru, tidak semua orang mempunyai kekuatan dan bakat dalam bidang politik.
Bagaimanapun tanggungjawab itu yang diidam-idamkan personaliti Gadis Panca 2018 minggu ini, Nurul Nazwa Osman atau Wawa. Anak kelahiran Ipoh, Perak ini bercita-cita besar, mahu untuk menjadi pemimpin yang berwibawa pada masa depan.
Sebagai permulaan, Wawa akan bertanding jawatan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di universitinya tidak lama lagi. Itu adalah peringkat asas yang perlu dilalui, sebagai medium sandaran yang kemudian akan memacu kepada sasaran besarnya itu.
“Saya memang suka mencabar diri. Semakin susah tugasan diberi, semakin saya suka. Masa itulah saya tahu kemampuan diri yang sebenar. Lagipun saya memang menyasarkan misi yang besar dalam hidup. Barulah ada motivasi yang boleh menggerakkan rutin harian saya,” kata Wawa, 23.
Untuk menjadi pemimpin, pelajar bidang Seni Persembahan dan Tarian di Universiti Malaya (UM) ini mengikuti kelas pengucapan awam bagi melatih diri berhadapan dengan khalayak ramai.
Heyy, saya Wawa
Nama: Nurul Nazwa Osman
Tarikh lahir: 15 Januari 1995
Tempat lahir: Ipoh, Perak
Akaun Instagram: @nios_yus
Tinggi/berat: 158 sentimeter/50 kilogram
Artis wanita diminati: Datuk Seri Siti Nurhaliza kerana penyanyi kesayangan ramai ini adalah contoh terbaik untuk diikuti. Beliau memang seorang wanita berhati waja dan kuat menempuh ujian untuk menjadi penyanyi terhebat dalam negara. Bakatnya yang luar biasa itu membuatkan ramai yang jatuh cinta kepadanya.
Impian menyertai Gadis Panca 2018: Saya mahu membuktikan kepada semua bahawa minat yang mendalam pasti mendorong seseorang untuk mengecapi apa yang diingini. Saya mahu menjadi seorang pelakon, itu sasaran yang perlu dikejar bermula sekarang.
Pernah tak anda dimalukan di tempat awam? Pernah. Selalunya berlaku ketika terbabit dalam projek busana muslimah. Fizikal yang sedikit rendah berbanding model sedia ada buat saya dipandang serong. Kira macam dah dimalukan secara diam-diam. Hati saya terasa tau…











