IPOH 22 Sept. – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri Perak di atas kejayaan menganjurkan temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2018 yang berakhir hari ini.
Menurut beliau, Sukma kali ini mencatatkan sejarah tersendiri melalui penganjuran 427 acara daripada 29 jenis sukan di 39 lokasi pertandingan dan di semua 12 daerah di negeri ini.
Menurutnya, pendekatan yang diambil oleh kerajaan negeri memberi peluang kepada seluruh rakyat termasuk di luar bandar menyaksikan acara yang dipertandingkan.
“Kerajaan Persekutuan akan terus memberi sokongan penuh kepada penganjuran Sukma oleh negeri-negeri secara penggiliran.
“Kerajaan Persekutuan akan sentiasa bersama-sama membantu menjayakan temasya sukan ini sama ada dalam bentuk bantuan dana mahupun bantuan-bantuan terus daripada agensi berkaitan kepada negeri yang menjadi tuan rumah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada penutup Sukma 2018 di Stadium Perak, di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu.
Menurut Dr. Wan Azizah, selepas Perak, Johor akan menyambut ketibaan kontinjen-kontinjen Sukma bagi edisi ke-20 pada tahun 2020.
Beliau berharap kerajaan negeri Johor dapat memulakan persiapan awal khususnya dalam mengenalpasti keperluan infrastruktur bagi penganjuran Sukma ke-20 nanti.
Kata beliau, begitu juga dengan persiapan kontinjen-kontinjen negeri yang akan mengambil bahagian nanti.
“Perancangan awal untuk membentuk atlet-atlet yang akan mewakili negeri masing-masing haruslah dilaksanakan secepat mungkin khususnya dalam mencungkil bakat-bakat sukan yang baru.
“Selain itu perkemaskan kemahiran dan prestasi atlet-atlet sedia ada supaya persaingan yang lebih hebat dapat disaksikan di Johor nanti,” katanya. – UTUSAN ONLINE











