Lakonan maksimum Nora, Zamarul - Utusan Malaysia

Lakonan maksimum Nora, Zamarul

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Benarlah kata orang, penangan pelakon lama lebih tajam ‘taring’ lakonan mereka meskipun sudah berehat lama dalam permainan watak untuk sesebuah naskhah.

Maka, pada yang baru beberapa tahun berada dalam sepak terajang dunia lakonan, selagi tahap keseriusan dan semangat yang diberikan dalam sesebuah kerja tidak seberapa, usahlah sekadar berbangga pada jumlah pengikut yang ramai di laman Instagram.

Hal itu jelas dilihat menerusi lakonan berjiwa yang diberikan Nora Danish dan Zamarul Hisham menerusi drama bersiri, Bahagia Bukan Bidaan yang kini sedang hangat disiarkan di slot Samarinda, TV3.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ironinya, Nora sudah lima tahun tidak berlakon drama bersiri, manakala filem pula, kali terakhir dilakonkannya pada 2016 menerusi Bukan Cinta Malaikat. Selepas itu, pelakon jelita itu berkahwin dengan Nedim Nazri dan dikurniakan cahaya mata lelaki bernama Mohamed Neqayl Nedim atau mesra di sapa Ney Ney itu.

“Memang saya merancang untuk buat kemunculan semula menerusi drama bersiri selepas melahirkan Ney Ney.

“Tambahan pula, peminat sering bertanya mengenai kemunculan saya di skrin TV (televisyen) selepas lima tahun berehat.

“Maka, saya terpaksa menilai naskhah mana yang bagus dan sesuai untuk kemunculan semula, sedangkan pada masa sama saya dapat tawaran daripada beberapa pihak. Selepas menilai dan meneliti barisan pelakon, saya rasa drama Bahagia Bukan Bidaan adalah pilihan tepat,” ujar Nora yang kembali membuat penonton terpukau menerusi watak isteri dianiaya bernama Hana dalam drama Bahagia Bukan Bidaan.

Nora yang lembut bicara dan mesra orangnya waima pertama kali berjumpa dengan penulis, tersenyum simpul saat lakonannya sebagai Hana dipuji. Malah, Nora juga akui ramai penonton yang melayangkan komen di laman Instagramnya yang mengakui cukup terpesona menyaksikan lakonan pelakon berusia 36 tahun itu.

Kata Nora, dirinya mula terasa penat berlakon drama bersiri yang memerlukannya ke set penggambaran setiap hari dan melalui tempoh penggambaran yang lama. Bagaimanapun, kerana cintanya pada lakonan dan juga untuk peminat, Nora cekal hati untuk hanya menerima naskhah lakonan yang dirasakan kena dengan jiwanya.

Ditanya tentang pandangan suaminya pula, Nora bersyukur kerana Nedim sentiasa memberi sokongan.

“Dia dari dahulu lagi sokong apa yang saya buat. Untuk kali ini pun dia suruh saya fokus pada lakonan dan anak biar dia jaga. Jadi, walaupun sepanjang hari di set penggambaran, saya tidak berasa risau kerana suami bantu menjaga anak dan tidak melepaskan sepenuhnya kepada pembantu rumah,” ujarnya yang turut mengakui memilih Nedim sebagai suaminya kerana keperibadian lelaki itu yang lebih mengutamakan keluarga selain hebat memasak.

Tampar

Bagi Zamarul pula, kali terakhir kredibiliti lakonannya dapat dilihat menerusi drama Cinta Masam Manis di samping Izara Aishah pada tahun 2016.

Cuma watak Azlan, seorang suami yang ego dan berasa layak berpoligami ditatang cemerlang oleh Zamarul sehingga khalayak bersorak riang melihat dia ditampar teman baik Hana iaitu Uni (lakonan Wan Sharmila) pada episod lalu.

“Saya terkejut juga mendapat maklum balas penonton menerusi watak Azlan. Baru saya faham betapa marahnya penonton dalam kalangan wanita yang tidak dapat menerima lelaki yang ingin berpoligami. Lebih-lebih lagi watak Azlan ini ego dan melakukan penindasan terhadap isterinya, Hana. Maka, apabila saya kena tampar dengan Uni mereka gembira dan komen di Instagram saya,” ungkap Zamarul sambil tertawa memberitahu yang dirinya kini sering menerima komen yang berbaur kebencian daripada netizen.

Hakikatnya, watak Azlan yang diterjemahkan Zamarul tidak memerlukannya memukul atau menengking Hana. Sebaliknya, Zamarul melakonkan watak Azlan dengan penuh karisma dan tersendiri, namun khalayak tetap berasa benci padanya. Itulah kredibiliti seorang pelaku seni bernama Zamarul Hisham.

“Sebenarnya semua pelakon memberi lakonan yang cemerlang sehingga menjadikan Bahagia Bukan Bidaan diminati. Ini juga kali pertama saya berlakon di samping Nora dan saya dapat rasakan roh dan semangat lakonan daripadanya.

“Saya tengok lakonannya di skrin TV depan pengarah dan berasakan lakonan Nora ada tenaga yang cukup bagus,” puji Zamarul sambil Nora menyahutnya dengan mengatakan dia sebagai pelakon juga cukup terpukau setiap kali melihat Zamarul beraksi di TV.

Rujuk

Sengaja bertanya tentang jalan cerita drama Bahagia Bukan Bidaan untuk episod seterusnya. Ini kerana, ramai penonton yang tidak sabar menunggu siaran drama daripada adaptasi novel itu pada hari Isnin nanti.

Sambil tertawa, Zamarul mendedahkan yang dirinya tidak akan berputus asa untuk merujuk kembali Hana untuk dijadikan isteri, pada masa sama tetap akan memperisterikan Aina, lakonan Ika Nabella.

“Hana saya mahu, Aina juga saya tidak mahu lepaskan,” ujarnya.

Menyambung bicara, kata Zamarul, penonton akan dapat saksi­kan lebih banyak konflik menerusi drama ini.

Malah, pada pertengahan cerita, penonton akan kasihankan Azlan, sebalik­nya akan membenci Nik (lakonan Datuk Adi Putra) yang menyimpan rahsia diri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini