MARAN – Tiada istilah ‘selangkah kaki’ ke separuh akhir buat skuad Terengganu walaupun mereka berjaya mengukir kemenangan 2-1 ke atas Felda United pada pertemuan suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Tun Razak di sini malam tadi.
Ketua Jurulatihnya, Irfan Bakti Abu Salim berkata, ini kerana anak didiknya masih perlu mengharungi tempoh 90 minit perlawanan pada aksi kedua menentang Felda United yang dilihat mampu untuk bangkit selepas menerima kekalahan tipis.
“Dua gol di tempat lawan bukan satu kelebihan…apa sahaja boleh berlaku dalam bola sepak.
“Tetapi kami tidak akan bermain secara bertahan bahkan akan terus mempamerkan ‘positive football’ dengan melakukan serangan bagi menokok jaringan di tempat sendiri nanti,” katanya pada sidang media selepas perlawanan tamat.
Irfan Bakti berkata beliau telah mengenal pasti beberapa kelemahan pada perlawanan malam tadi dan berusaha untuk memperbaikinya bagi memastikan kemaraan Sang Penyu pada saingan Piala Malaysia edisi ini.
“Rentak permainan pasukan kita seperti tidak menjadi pada separuh masa pertama namun ia berubah pada babak kedua yang dilihat lebih mantap.
“Barisan tengah dan hadapan juga dilihat tidak begitu berkesan sebelum kembali meyakinkan pada separuh kedua.
“Kesilapan pemain sendiri di tengah padang sebagaimana sepanjang kempen Piala Malaysia perlu dielakkan jika kita mahu ke final,” katanya.
Sementara itu, pengendali Felda United, B. Satiananthan berkata padang rumput tiruan masih menjadi antara faktor yang menghalang anak buahnya bermain dengan baik sehingga mengundang kekalahan.
“Hal ini sudah sering saya utarakan…kita tidak dapat bermain dengan baik di tempat sendiri berbanding di tempat lawan kerana faktor padang. Selain itu, berlaku juga hilang fokus dalam kalangan pemain sehingga menyebabkan kita tewas,” katanya.
Perlawanan kedua bakal berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada 28 September depan. – Bernama











